Manifesto akan ditokok tambah jika BN menang

2

KUCHING: Manifesto Barisan Nasional (BN) yang diumumkan baru-baru ini diyakini bukan sahaja mampu dilaksana malah akan turut ditokok tambah lagi jika BN terus diberi mandat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.

Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata perkara itu telah jelas ditunjukkan oleh kerajaan BN sepanjang tempoh memimpin negara dari 2008 hingga tahun ini apabila melaksanakan pelbagai inisiatif baharu yang memberi manfaat kepada rakyat tanpa hanya mengikut perkara yang dimaktubkan dalam manifesto terdahulu.

“Bantuan Rakyat 1Malaysia, 1AZAM (Akhiri Zaman Miskin), bantuan nelayan dan bantuan persekolahan merupakan antara perkara yang tidak termaktub dan dijanjikan dalam manifesto dahulu tetapi ia telah dilaksanakan dengan jayanya.

“Ini jelas, kerajaan BN begitu prihatin terhadap rakyat dan apa yang telah dilaksanakan sebenarnya adalah lebih daripada yang dijanjikan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat bagi membincangkan status-status pelaksanaan projek yang telah diluluskan oleh kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri di Wisma Sumber Alam, Petra Jaya, semalam.

Justeru, Awang Tengah yang juga Menteri Kemudahan Awam dan Menteri Pembangunan Perindustrian yakin bahawa manifesto bertemakan ‘Menepati Janji Membawa Harapan’ akan dapat melonjakkan lagi negara kerana ia adalah perkara yang realistik dan mampu dilaksanakan.

Membandingkan dengan pembangkang, beliau berkata mereka hanya pandai berjanji sahaja tetapi tidak mampu melaksanakannya.

“Dulu, masa Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, beliau telah  berjanji hendak membantu kita (Sarawak) dalam melaksanakan jalan pesisir dan turut mengumumkan peruntukan kepada umum berjumlah RM700 juta.

“Tetapi, itu hanyalah janji kosong dan kita tidak menerima satu sen pun daripada beliau sebaliknya projek jalan pesisir tersebut telah kita laksanakan atas komitmen sendiri.

“Jadi, apa nak harap kalau pembangkang memerintah dan Anwar jadi Perdana Menteri,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai senarai calon BN Negeri bagi PRU13 ini, Awang Tengah berkata ia akan diumumkan oleh Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dalam masa terdekat ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baru-baru ini memberitahu, akan mengadakan mesyuarat esok bagi mengumumkan tarikh-tarikh penting seperti hari penamaan calon, undi awal dan hari mengundi.

Sarawak hanya akan menjalankan pilihan raya parlimen memandangkan telah mengadakan pilihan raya negeri pada 2011.

Terdapat 31 kerusi Parlimen akan dipertandingkan di Sarawak dengan 14 diperuntukkan kepada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), tujuh kepada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), enam kepada Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan empat Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP).