Projek k’jaan BN bukan bermusim

0

UNTUK RAKYAT: Tiong (tengah) memotong reben bagi merasmikan projek lampu jalan di Rumah Nuang Usit, Senibong di Sibu, petang kelmarin.

Pemberian projek bukan tunggu pilihan raya, dilaksana tanpa pilih masa

SIBU: Projek yang disalurkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) bukanlah projek bermusim malah ia adalah projek berterusan untuk kesejahteraan rakyat.

Penyandang Kerusi Parlimen Lanang Datuk Tiong Thai King berkata pemberian sesuatu projek bukan hanya menunggu musim pilihan raya malah dilaksanakan tanpa memilih masa dan musim.

“Selagi kerajaan BN memerintah negara dan negeri ini, selagi itulah projek-projek akan dilaksanakan kepada rakyat.

“Setiap masalah kekurangan yang dihadapi rakyat juga akan mendapat perhatian kami kerana ia sudah menjadi tanggungjawab kerajaan BN yang berkhidmat untuk rakyat,” katanya ketika merasmikan projek lampu jalan di Rumah Nuang Usit, Senibong di sini, petang kelmarin.

Hadir sama Setiausaha Politik Ahli Parlimen Lanang Tang Tung King, Penghulu Paing Tawi dan Tuai Rumah Nuang.

Tiong yang juga pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) memberitahu bahawa kerajaan BN merupakan sebuah kerajaan yang prihatin dan peka dengan masalah rakyat.

“Lihatlah apa yang telah dilaksanakan selama ini kepada negara ini amnya dan negeri ini khasnya dan lihat juga apa yang pembangkang buat.

“Tujuan kami menyalurkan projek bukan untuk memancing undi malah ia adalah tanggungjawab kami.

“Memang dalam tugas sebagai seorang wakil rakyat BN, segala peruntukan dan projek wajib disalurkan kepada rakyat bagi meningkatkan insfrastruktur dan sebagainya demi keselesaan rakyat.

“Itulah namanya wakil rakyat iaitu bekerja ataupun berkhidmat untuk rakyat. Bukannya untuk memancing atau mempunyai agenda tersendiri.

“Kami hanya laksanakan tugas, terpulanglah kepada rakyat menilainya,” tegas beliau.

Menyentuh mengenai projek lampu jalan itu, beliau menjelaskan bahawa  kawasan rumah panjang harus disediakan kemudahan itu bagi tujuan keselamatan.

Katanya ini penting bagi memastikan penduduk rumah panjang tidak bergelap ketika melalui jalan masuk menuju ke rumah mereka dan kawasan halaman.

“Soal keselamatan penduduk rumah panjang adalah antara eleman yang sering diberikan keutamaan oleh pihak kami.

“Kerajaan BN dengan sedaya upaya mahu memastikan setiap penduduk di rumah panjang khususnya di kawasan Lanang terus menikmati pelbagai pembangunan yang berterusan,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau menyeru kepada penduduk luar bandar khususnya di kawasan rumah panjang agar berdiri teguh di belakang BN dengan memberikan mandat kepada BN pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) ini.

“Tidak rugi jika anda memilih BN pada PRU13 ini kerana pelbagai perancangan pembangunan khususnya di kawasan Lanang sedang rancak dirancang oleh kerajaan.

“Bagi memastikan perancangan itu dilaksanakan, sokongan padu anda semua amat diperlukan bagi merealisasikan pelbagai perancangan,” katanya.