BN sepatutnya terus diberi mandat tadbir negara

2

KUCHING: Kerajaan di bawah teraju Barisan Nasional (BN) tidak pernah gagal dalam menjaga kepentingan rakyat dalam semua aspek justeru pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) parti pemerintah itu sepatutnya terus diberi mandat untuk mentadbir negara.

Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, manifesto yang diperkenalkan BN setiap kali pilihan raya bukan hanya sekadar janji kerana ia sudah direalisasikan.

Menurutnya, rakyat negeri ini sepatutnya bijak dalam menjalankan tanggungjawab mengundi nanti agar kesinambungan pembangunan akan terus dilaksanakan.

“Bukti sudah ada dan apa yang dijanjikan ditunaikan.

“Rakyat sepatutnya memberi mendat kepada BN untuk terus mentadbir selepas PRU13,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Beliau yang juga Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua berkata, setiap tahun Sarawak merupakan negeri yang paling banyak menerima peruntukan daripada kerajaan persekutuan.

“Ini terbukti apabila dari tahun 2008 hingga 2011 lebih RM32 bilion disalurkan kerajaan pusat kepada negeri ini.

“Kunjungan menteri dan timbalan menteri pusat ke negeri ini juga kebiasaannya akan membawa perkhabaran gembira termasuk melibatkan perancangan pembangunan,” ujarnya.