Gantung bendera parti mesti ikut peraturan

0

TIDAK BERETIKA: Kelihatan bendera Parti Islam SeMalaysia (PAS) sudah mula berkibaran di tepi-tepi jalan sekitar jalan di Kota Samarahan.

Gantung bendera ketika bukan tempoh berkempen adalah menyalahi undang-undang

TAKUN

KUCHING: Tindakan parti politik menggantung bend­era parti di tempat awam seperti di tepi jalan ketika bukan tempoh berkempen merupakan perbuatan men­yalahi undang-undang.

Perkara itu ditegaskan oleh Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Sarawak Datu Takun Sunggah yang menyarankan agar parti-parti politik yang telah menggan­tung bendera parti di tempat awam agar menurunkannya semula.

Beliau menegaskan perbua­tan itu menyalahi undang-undang dan pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh men­gambil tindakan ke atas perkara itu.

“Jika bendera parti itu di­gantung di tempat markas atau bilik gerakan atau di halaman rumah di kampung-kampung ia tidak menjadi satu kesalahan tetapi kalau ia digantung di tempat awam seperti di tepi jalan atau di bulatan ia adalah satu kesalahan.

“Justeru, saya menyarankan agar PBT mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana parti yang tidak mematuhi undang-undang,” katanya ketika dihubungi semalam.

Pada masa yang sama Takun menjelaskan bahawa SPR hanya mempunyai kuasa untuk menurunkan bahan-bahan kempen yang menyalahi un­dang-undang pilihan raya pada tempoh berkempen sahaja.

“Untuk masa ini ia di bawah bidang kuasa PBT dan pihak PBT boleh bertindak menu­runkan bendera berkenaan yang digantung di tempat awam,” katanya.

WAN JUNAIDI

Menyentuh mengenai ciri-ciri bahan kempen menyalahi undang-undang yang digan­tung pada tempoh berkem­pen, beliau memberitahu jika bahan kempen itu mempunyai unsur-unsur jahat atau fitnah pihak SPR tidak teragak-agak menurunkannya.

Selain itu, beliau memberi­tahu bahawa calon-calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti hendaklah membayar deposit bahan kempen se­banyak RM5,000 dan men­dapatkan permit daripada PBT sebelum menggantung bahan kempen.

Sementara itu, bekas Tim­balan Speaker Dewan Rakyat Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, perbuatan itu merupakan satu budaya yang tidak sihat dan tidak meng­hormati undang-undang yang ditetapkan.

“Saya berharap PBT boleh bertindak tegas supaya bu­daya membelakangi undang-undang ini tidak menjadi amalan politik Sarawak.

“Bagi Santubong, Jawa­tankuasa Tertinggi Bilik Gerakan Operasi Pilihan Raya telah memberi arahan supaya patuh dengan undang-undang dan arahan SPR,” tegasnya.

Wan Junaidi yang juga penyandang kerusi Parlimen Santubong berkata walaupun di Semenanjung Malaysia perkara itu berleluasa dan menjadi budaya di sana beliau berharap rakyat di negeri ini tidak mengamalkannya.

“Kita ada undang-undang yang telah ditetapkan jadi kita kena patuhinya. Oleh itu saya berharap rakyat negeri ini tidak menerima budaya dan amalan tidak patuh ke­pada undang-undang ini,” ujarnya.