KUCHING: Manifesto Parti Pekerja Sarawak (SWP) adalah mengelirukan dan tidak layak dianggap sebagai janji yang boleh dipercayai.
Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Sarawak Datuk Dr Stephen Rundi Utom berkata isi kandungan manifesto SWP dilihat sebagai kurang meyakinkan serta mengelirukan berdasarkan jumlah calonnya yang akan bertanding adalah sedikit.
“SWP akan hanya bertanding di enam kerusi Parlimen sahaja namun mereka seolah-olah berlagak seperti mahu memerintah kerajaan negeri atau pusat,” ujar Rundi ketika membalas pertanyaan melalui sistem pesanan ringkas semalam.
Kelmarin, SWP telah melancarkan manifestonya yang disifatkan sebagai mesra Sarawak.
Manifesto SWP mengandungi 14 kandungan utama termasuk pendidikan percuma untuk keluarga berpendapatan di bawah RM2,500 sebulan, hutang PTPTN dimansuhkan bagi pelajar daripada keluarga berpendapatan di bawah RM2,500 dan menambah bilangan guru Sarawak kepada 10 peratus daripada jumlah keseluruhan negara.
Menurut Rundi manifesto SWP seolah-olah memandang rendah terhadap penilaian serta pemikiran para pengundi di luar bandar.
“Saya percaya para pengundi di kawasan luar bandar adalah bijak dalam membuat penilaian dengan membandingkan manifesto BN dan SWP bagi menentukan masa depan mereka sendiri,” tambahnya.
Sementara itu Setiausaha Agung Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk Wilfred Rata Nissom berkata beliau kurang yakin terhadap janji-janji SWP melalui manifestonya.
“Berdasarkan kes baru-baru ini kepimpinan SWP kelihatan amat goyah dan kurang kepercayaan sesama ahli,” ujarnya.
Menurut Wilfred faktor tersebut sudah cukup untuk menunjukkan ketidakstabilan SWP di samping manifestonya yang kurang meyakinkan orang ramai.