Mayat pengawal keselamatan terdampar di pantai Tg Lipat

0

JAUTEH (dua kanan) dan Chandra (kanan) memerhatikan pegawai polis melakukan pemeriksaan terhadap mayat mangsa yang ditemui terdampar berhampiran pantai Tanjung Lipat kelmarin.

KOTA KINABALU: Misteri seorang pengawal keselamatan yang hilang semalaman terjawab apabila mayatnya ditemui terdampar di pantai Tanjung Lipat, Likas pada pagi kelmarin.

Mangsa dikenali sebagai Mohd Faisal Amilusin, 44, difahamkan mati dengan terdapat kesan kecederaan di bahagian kepalanya.

Penemuan mayat mangsa yang lengkap berpakaian dan terdampar di atas pasir pantai kira-kira jam 6 pagi itu turut mengejutkan orang ramai, terutamanya mereka yang sedang menjalankan aktiviti riadah di kawasan terbabit sebelum memaklumkan perkara itu kepada pihak polis.

Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Jauteh Dikun menjelaskan bahawa hasil siasatan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan di bahagian kening serta dahinya dan dipercayai dipukul menggunakan benda keras.

“Kita dimaklumkan mengenai kejadian ini sebaik menerima maklumat daripada orang awam.

“Mayat mangsa yang dipercayai berkerja sebagai pengawal keselamatan telah ditemui terdampar di pantai dan hasil siasatan awal mendapati bahawa terdapat kecederaan di bahagian kepalanya, difahamkan dipukul menggunakan benda keras.

“Mayat mangsa juga telah dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk proses bedah siasat,” katanya yang berada di tempat kejadian bersama timbalannya, Supt M Chandra.

Jauteh berkata, hasil siasatan lanjut dan maklumat awam, polis kemudiannya menahan seorang lelaki berusia 34 tahun di kawasan Likas kira-kira jam 8.30 pagi kelmarin setelah disyaki terlibat dengan kejadian terbabit.

Beliau yang mengklasifikasikan kes terbabit berjaya diselesaikan dalam tempoh dua jam selepas penahanan suspek, turut meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat supaya tampil membantu siasatan pihak polis.

Kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.