Tiada sebab untuk rakyat tolak Barisan Nasional: Minos

0

KUCHING: Tiada sebab untuk rakyat negeri ini khasnya pengundi Bidayuh menolak Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.

Pengerusi Persatuan Warisan Bung Bratak Datuk Peter Minos berkata masa depan rakyat untuk tempoh lima tahun akan datang telah dirancang dengan begitu baik oleh kerajaan BN.

Katanya rancangan-rancangan ini telah dijelaskan dengan terperinci dalam manifesto BN yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjelang PRU13.

“Manifesto yang dikeluarkan oleh BN menyatakan dengan jelas tentang apa yang BN akan laksanakan untuk rakyat dan negara bagi tempoh lima tahun akan datang jika diberi mandat membentuk kerajaan memerintah.

“Semua kandungan utama yang digariskan dalam manifesto ini telah dikaji dengan teliti oleh BN untuk memastikan ia bukan janji-janji kosong BN.

“Daripada apa yang saya lihat, saya tahu Najib dan semua yang dinyatakan dalam manifesto ini akan dilaksanakan dan dicapai,” katanya ketika dihubungi semalam.

Tambah Minos yang juga pengerusi PBB N.1 Opar, jika kesemua projek dan cadangan dalam manifesto dilaksanakan, lebih banyak pembangunan akan dicapai di Malaysia untuk tahun-tahun seterusnya.

Janji-janji istimewa untuk Sarawak seperti lebih banyak jalan, air, elektrik dan kemudahan-kemudahan lain amat dihargai oleh rakyat Sarawak.

“Ya, Sarawak memerlukan semua ini untuk mendapat lebih banyak pembangunan.

“Rakyat luar bandar bersungguh-sungguh untuk mendapatkan semua kemudahan asas ini.

“Saya dapat merasakan bahawa Najib benar-benar mahu Sarawak dan Sabah setanding dengan Semenanjung Malaysia dan ini adalah baik untuk kita semua,” katanya.

Menyentuh mengenai cadangan Lebuh Raya Pan Borneo, ia menurut Minos adalah harapan besar rakyat Sarawak dan Sabah sejak bertahun-tahun lamanya.

“Najib memang menyedari sentimen kita. Laluan ini membawa makna yang besar kepada Sarawak dan Sabah,” katanya.