Tiang kabel telefon tumbang ganggu perkhidmatan telefon

0

TUMBANG: Kakitangan TM Limbang berusaha membaik pulih kerosakan kabel telefon utama di kawasan Medan Bangkita akibat diseret oleh sebuah kren pengangkut lori.

LIMBANG: Beberapa pelang­gan Telekom Malaysia (TM) di kawasan Medan Bangkita di sini mengalami gangguan perkhid­matan telefon selepas kabel telefon utama milik syarikat itu terletak di kawasan berkenaan diseret beberapa meter oleh sebuah kren pengangkut lori kelmarin.

Akibat kejadian itu tiang kabel telefon tersebut tumbang selepas diseret beberapa meter oleh sebuah kren pengangkut lori yang melalui kawasan itu sekitar jam 3 petang kelmarin.

Menurut saksi,kren pengang­kut lori tersebut membawa sebuah lori baharu yang agak tinggi sehingga mencapai kabel tersebut sebelum mengheretnya beberapa meter.

Kejadian itu menyebabkan lalu lintas di jalan berkenaan terganggu, manakala pihak TM sedang sedaya upaya membaik pulih kerosakan kabel telefon itu.

Jurucakap TM ketika dihubungi semalam memberitahu, pihaknya kini sedang berusaha untuk mem­baiki kerosakan kabel telefon utama akibat kemalangan itu.

“Kemalangan itu turut menyebabkan beberapa pelanggan termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Akauntan, Bank Rakyat serta pelanggan lain di kawasan Medan Bangkita men­galami gangguan perkhidmatan telefon, sementara menunggu kerja membaik pulih kerosakan tersebut dilakukan,” katanya.

Beliau berkata kerja membaik pulih kerosakan itu dijangka akan siap sehingga Khamis ini (esok).