15 warga Filipina, seorang polis ke Mahkamah Tinggi Tawau Jumaat ini

0

KUALA LUMPUR: Lima belas warga Filipina dan seorang Koperal polis yang didakwa melakukan pelbagai kesalahan ketika insiden pencerobohan di Lahad Datu baru-baru ini akan dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Tawau Jumaat ini.

Lapan daripada mereka berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan denda jika sabit kesalahan melancarkan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong.

Ini merupakan kali kedua tuduhan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong dikenakan di negara ini selepas insiden kumpulan pemberontak Al Maunah di Bukit Jenalik Sauk, Perak pada tahun 2000.

Selain itu tujuh lagi tertuduh menghadapi pelbagai tuduhan iaitu menjadi anggota kumpulan pengganas, melindungi pengganas serta merekrut orang sebagai anggota kumpulan pengganas.

Seorang anggota polis warga tempatan pula didakwa tidak memberi maklumat mengenai tindakan pengganas.

Kesemua mereka sebelum ini didakwa di Mahkamah Majistret yang bersidang khas di Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu. Pada prosiding Jumaat ini, pengakuan tertuduh akan direkodkan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi P. Ravinthran.

Pada 21 Mac lepas, lapan warga Filipina iaitu Atik Hussin Abu Bakar, Basad Manuel, Lin Mad Salleh, Holland Kalbi, Habil Suhaili, Timhar Hadir, Kadir Uyung dan Lating Tiong tidak diwakili peguam hingga Ravinthran memutuskan supaya pengakuan mereka tidak direkodkan demi memberi keadilan kepada tertuduh.

Selain itu pertuduhan terhadap lapan lagi tertuduh termasuk Koperal Hassan Ali Basri yang didakwa awal April, akan dibacakan semula kerana kes mereka baru sahaja dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Bagi pertuduhan melancarkan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong, mereka didakwa mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan pertuduhan menjadi anggota kumpulan pengganas menurut Seksyen 130KA kanun sama, membawa hukuman penjara seumur hidup dan boleh didenda.

Seksyen 130E iaitu merekrut orang sebagai anggota kumpulan pengganas atau untuk menyertai perbuatan pengganas pula membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh didenda manakala Seksyen 130K diperuntukkan bagi kesalahan melindungi pengganas yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan boleh didenda atau penjara maksimum 20 tahun dan boleh denda.

Sementara itu bagi kesalahan mengikut Seksyen 130M iaitu sengaja tidak memberi maklumat mengenai pengganas, ia boleh membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. — Bernama