Pokok Semarak Api tumbang hempap kereta

0

ANGGOTA bomba menolak bahagian pokok yang telah digergaji dari kawasan atas jalan utama.

TAWAU: Tiga perempuan dan seorang lelaki hampir menemui ajal apabila kereta yang mereka naiki secara tiba-tiba dihempap oleh sebatang pokok semarak api besar berketinggian kira-kira bangunan empat tingkat di Jalan Tengku Osman di sini.

Difahamkan kejadian itu berlaku kira-kira jam 8 malam pada Selasa semasa kesemua mangsa menaiki sebuah kereta jenis Proton Wira dan dalam perjalanan dari arah lampu isyarat Tengku Osman menuju ke bulatan Hill Top.

Bagaimanapun, semasa mereka melalui hadapan Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), sebuah pokok semarak api di luar pagar pejabat itu tumbang dan terus menimpa kenderaan yang mereka naiki.

Akibat insiden itu, salah seorang wanita mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Tawau oleh orang awam menerusi sebuah teksi sementara tiga lagi mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.

Saksi kejadian, Zolkapley Bidin, 61, berkata beliau melihat kejadian itu semasa berjalan kaki ke Hill Top dari Kg Sentosa 4B, dan berlari pulang selepas mendapati pokok itu tumbang di hadapan rumahnya.

“Saya bimbang pokok itu turut menimpa rumah saya,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian sambil menyatakan kesemua mangsa di dalam kenderaan terbabit dikeluarkan oleh orang awam.

Zolkapley yang sudah mendiami rumahnya semenjak tiga tahun lalu berkata beliau menyedari perubahan pokok itu semenjak dua hari sebelum kejadian berdasarkan perubahan arah kedudukan lakaran mural 1Malaysia yang dilukis di batang pokok terbabit.

Beliau berkata, kedudukan mural itu sebelum ini berada tepat menghala ke rumahnya, namun selepas hujan lebat semenjak tiga hari lepas, kedudukan arah mural berkenaan dilihat semakin senget dan condong.

“Melihat keadaan pokok itu, saya mengesyaki pokok itu memang akan tumbang tetapi tidak sangka pula ‘dia’ tumbang ketika tidak ada angin ataupun hujan,” katanya sambil menambah, pokok terbabit terletak bersebelahan dengan parit besar di tepi jalan utama.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Tawau, Rudy Fredzek berkata pihaknya bergegas ke lokasi kejadian pada jam 8.10 malam sebaik menerima aduan dan menamatkan operasi pada jam 11.20 malam.

“Enam anggota bomba dikerahkan ke lokasi kejadian dengan dilengkapi sebuah jentera dan kita terpaksa memotong kayu yang melintang di atas jalan utama serta menutup jalan di lokasi terbabit,” katanya.

Utusan Borneo yang berada di lokasi kejadian mendapati jalan utama menghala ke arah lokasi kejadian sepanjang kira-kira 100 meter terpaksa ditutup dan pihak bomba turut mendapatkan sebuah jentolak untuk membantu mengeluarkan kayu-kayu dari atas jalan.