Semakan pusat mengundi dan saluran mulai 15 April: SPR

0

PUTRAJAYA: Orang ramai boleh mula membuat semakan mengenai pusat dan saluran mengundi bagi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) mulai 15 April, menerusi laman web dan khidmat pesanan ringkas (SMS).

Semakan boleh dibuat di laman web SPR www.spr.gov.my dan portal rasmi PRU13 di www.pru13.gov.my serta melalui sms dengan menaip SPR jarak SEMAK jarak NO KAD PENGENALAN dan hantar ke 15888.

Tiga kemudahan tambahan SMS turut disediakan oleh SPR iaitu, bagi pengguna Celcom boleh hantar ke 29292, pengguna Maxis hantar ke 33080 dan 22789 manakala pengguna DiGi ke 33080.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, selain semakan menerusi laman web dan SMS, pengundi juga boleh menelefon ke ibu pejabat SPR di talian 03-88856565 atau pejabat pilihan raya negeri.

Beliau berkata, daftar pemilih pilihan raya dalam bentuk cakera padat (CD) pula akan mula dijual pada 15 April dan dalam bentuk buku pada 19 April.

“Maklumat-maklumat lain berhubung dengan pilihan raya umum kali ini juga akan dikeluarkan dari semasa ke semasa oleh ibu pejabat SPR atau pengarah-pengarah pilihan raya negeri atau pegawai-pegawai pengurus pilihan raya,” katanya pada sidang media khas di sini semalam.

Daftar pemilih yang akan digunakan bagi PRU13 ialah Daftar Pemilih Induk (DPI) 2011, Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Pertama, Suku Tahun Kedua dan Suku Tahun Ketiga dan Suku Tahun Keempat 2012. — Bernama