761 anggota JPAM S’wak bertugas pada PRU13

0

KUCHING: Sejumlah 761 anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Sarawak akan ditugaskan bermula hari penamaan calon hingga hari mengundi dengan dua anggota ditempatkan di setiap pusat mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) ini, kata Timbalan Ketua Pengarah Pertahanan Awam (Operasi) Selamat Dahlan.

Tambah beliau, semua bilik gerakan melibatkan 15 pejabat JPAM Sarawak ini turut akan beroperasi untuk bersiap sedia dari segi bantuan kecemasan.

“Jika berlaku sebarang rusuhan, bencana, kemalangan atau sebagainya, JPAM bersedia memberikan bantuan dari segi menyelamat, medik atau kawalan keselamatan,” katanya pada sidang media sempena Majlis Pemakaian Pangkat dan Penyampaian Pingat Pertahanan Awam Sarawak Tahun 2013, di sini semalam.

Turut hadir Pengarah Pertahanan Awam Sarawak Kolonel (PA) Mat Zin Bujang.

Dalam pada itu, Selamat berkata pihaknya turut membantu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenal pasti pengundi-pengundi dalam kalangan anggota JPAM.

Menurutnya, jumlah keseluruhan anggota berdaftar JPAM Sarawak ialah seramai 28,473 orang dan 9,043 daripadanya adalah yang telah mendaftar sebagai pengundi.

“Kami akan cuba mengenal pasti anggota yang telah mendaftar mengundi ini supaya keluar menunaikan tanggungjawab mereka.

“Ini sekali gus membantu meningkatkan peratusan mengundi negara kerana sebelum ini peratusan mengundi agak kurang memuaskan,” katanya.

Jelas Selamat, anggota JPA termasuk di Sarawak adalah tidak tergolong sebagai pengundi pos dan mereka boleh mengundi secara biasa di tempat masing-masing.