Usah ‘khayal’ dengan slogan ‘Ubah’

4

MIRI: Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin mengingatkan golo-ngan belia di negeri ini supaya berfikir secara positif serta waras dan bukannya ‘berkhayal’ dengan slogan yang mengajak mereka ‘berubah’.

Beliau menyifatkan slogan ‘Ubah’ yang kononnya membawa perubahan kepada rakyat dan negara seperti yang dilaung-laungkan sekumpulan parti politik ketika ini, tidak ubah seperti slogan fantasi semata-mata kerana ia bukan perkara nyata.

“Apabila kita mahu me-lakukan perubahan kita melaksanakan program-program untuk menambah baik semua pembangunan dan program sedia ada dan program yang kita laksanakan adalah program yang boleh dicapai oleh kumpulan sasaran kita.

“Sebaliknya program yang dilaungkan melalui slogan ‘Ubah’ hanyalah angan-angan yang dilaungkan tanpa program, tanpa perancangan dan bagi saya jika ia dilaungkan begitu sahaja maka ia adalah satu fantasi atau mimpi, bukan nyata,” ujar Lee lagi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin.

Sehubungan itu beliau mengingatkan belia di negeri ini supaya memiliki pemikiran yang positif dan tidak mudah terpengaruh dengan fantasi seumpama itu sebaliknya memilih di mana janji-janji yang diungkapkan menjadi kenyataan dan mampu dilaksanakan.

Lee yang juga Menteri Muda Sukan berkata Barisan Nasional sepanjang pemerintahannya sebagai kerajaan, sentiasa terbuka untuk menerima maklum balas daripada golongan belia terutama mengenai keperluan, tuntutan, aktiviti dan sebagainya, berkaitan belia.

“Maklum balas inilah merupakan maklumat tepat yang diperolehi kerajaan dalam usahanya menyediakan pembangunan dan kemudahan mengikut keperluan dan menunaikan tuntutan golongan belia pada hari ini,” jelasnya.

Berucap semasa merasmikan Persidangan Persatuan Belia Peringkat Bahagian Miri 2013, di sebuah hotel di sini, petang semalam Lee memberitahu, sebagai bukti keprihatinan terhadap pembangunan belia di negara ini, kerajaan telah menubuhkan pelbagai institusi kemahiran dan pendidikan untuk melahirkan generasi belia yang berpengetahuan dan memiliki kemahiran bagi berdepan dengan pelbagai kerjaya.

Di Miri sahaja katanya, kerajaan telah membina Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dan Institut Latihan Perindustrian (ILP) untuk memenuhi keperluan kerjaya di samping Pusat Kemahiran Belia di Lutong serta menggalakkan pembukaan institusi pendidikan dan kemahiran oleh pihak swasta.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menggalakkan belia di sini menyertai pelbagai pertubuhan belia yang ada, supaya mereka dapat bersuara dan seterusnya menyalurkan input-input yang berguna untuk membolehkan kerajaan menambah baik dan meningkatkan lagi pembangunan belia di negeri ini.

Turut hadir Residen Bahagian Miri merangkap pengerusi penganjur Antonio Khati Galis serta para peserta yang mewakili pelbagai pertubuhan belia di bahagian ini.