Sarawak Health Marathon ditunda

0

TAJAAN: Wakil Tan Ann Holdings Bhd, Shannon Yii (tiga kiri) dan wakil Dato Wong Kuok Hea (empat kiri) menyampaikan tajaan kepada Tang (dua kiri) dan Joseph Tang (dua kanan) di Sibu semalam.

SIBU: Kejohanan Jubilee Park Sarawak Health Marathon Edisi Ke-13 terpaksa ditukarkan pada tarikh 5 Mei kepada tarikh baharu 12 Mei depan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Pengerusi Kelab Sukan Marathon Extreme (KSME) Sibu, Tang Kah Seng berkata masa dan venue kejohanan masih kekal mengikut perancangan awal kejohanan.

“Disebabkan tarikh mengundi pada 5 Mei, kami terpaksa menukarkan tarikh kepada 12 Mei. Pada hari tersebut, peserta perlu melaporkan diri di kaunter pada seawal jam 6 pagi,” katanya pada Majlis Penyerahan Hadiah Tajaan di pejabat Ta Ann Holdings Bhd, di sini semalam.

Hadir sama ialah Timbalan Pengerusi KSME, Joseph Tang.

Tang berkata, Dato Wong Kuok Hea dijangka merasmikan upacara pelepasan peserta pada jam 6.30 pagi.

“Peserta yang masih berminat menyertai boleh menghantar borang penyertaan pada tarikh tutup penyertaan 30 April ini,” ujar beliau.

Pihak penganjur menjangka kejohanan kali ini mampu menarik minat penyertaan kira-kira 1,000 pelari di seluruh negeri termasuk dari Semenanjung Malaysia.

Kejohanan itu terbahagi kepada kategori lelaki dan wanita terbuka, lelaki dan wanita veteran, lelaki dan wanita junior dan lelaki dan wanita fun run.

Johan lelaki dan wanita terbuka bakal membawa pulang hadiah berupa wang tunai bernilai RM900, naib johan (RM750) dan tempat ketiga (RM600) di samping turut mendapat trofi setiap seorang.

Pemenang tempat keempat mendapat wang tunai bernilai RM450, tempat kelima (RM350) dan tempat keenam (RM250) serta masing-masing mendapat medal.

Pemenang tempat ke-11 hingga ke-20 akan menerima RM100 diikuti tempat ke-21 hingga ke-30 (RM80), tempat ke-31 hingga ke-50 (RM50).

Selain itu, peserta yang menamatkan larian kategori lelaki dan wanita terbuka sejauh 21 kilometer dalam tempoh masa kelayakan akan mendapat sijil penyertaan.

Pemenang dan peserta larian kategori lelaki dan wanita fun-run yang menamatkan larian sejauh tujuh kilometer pula akan membawa pulang hadiah berupa RM100 berserta piala (tempat pertama), kedua (RM80 berserta piala) dan ketiga RM60 berserta piala.

Bagi tempat keempat akan membawa pulang hadiah RM50 diikuti tempat kelima hingga ke-10 (RM40) manakala tempat ke-11 sehingga ke- 40 akan menerima RM30.

Johan lelaki veteran sehingga tempat ke-35 akan mendapat hadiah serupa dengan hadiah yang ditawarkan oleh kategori lelaki terbuka.

Kategori wanita veteran pula, johannya akan pulang hadiah berupa wang tunai bernilai RM300, naib johan (RM250), tempat ketiga (RM200).

Hadiah yang ditawarkan bagi kategori lelaki dan wanita junior ialah juara memenangi hadiah wang tunai RM300, diikuti naib johan RM250 dan ketiga RM200 yang masingmasingnya berserta piala.

Tempat keempat hingga ketujuh masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM150, RM120, RM100 dan RM90.

Tempat kelapan hingga ke-10 RM80, tempat ke-11 hingga ke-20 (RM60), tempat ke-21 hingga ke-30 (RM40) dan tempat ke-31 hingga ke- 50 (RM30).

Pemenang tempat keempat mendapat wang tunai bernilai RM150, tempat kelima (RM120) dan tempat keenam(RM100).

Selain itu, 10 hamper berupa produk Milo dan wang tunai bernilai RM200 menanti pemenang cabutan bertuah.

Yuran penyertaan ialah RM20 bagi kategori lelaki dan wanita terbuka, lelaki dan wanita veteran dan lelaki dan wanita fun-run serta RM10 bagi kategori lelaki dan wanita junior.

Borang penyertaan boleh didapati di Sibu Marathon Sports Club c/o Chai Lai Cafe, No.35, Jalan Sanyan di sini. Borang yang diisi lengkap perlu dihantar semula ke alamat yang sama.

Tarikh akhir menghantar borang penyertaan ialah selewat-lewatnya sebelum atau pada 30 April ini, jam 5 petang.

Bagi maklumat lanjut sila hubungi Tang Kah Seng di talian 019-8181129 dan Joseph Tang (019-8178232).

Di Kuching, sila hubungi Ngui Kiong di talian 012-8881261, Wong Siew Ming (019-8354321) di Miri manakala Sarkawi Adenan (0128756935) di Bintulu.

Kejohanan marathon anjuran bersama KSME dan Majlis Perbandaran Sibu (MPS) dan dibantu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) Cabang Sibu.

Penaja utama kejohanan Ta Ann Holdings Bhd dan Dato Wong Kuok Hea dan minuman rasmi ditaja oleh Milo dan V-Soy.