Bahan kempen hanya boleh digantung selepas penamaan calon: DBKU

0

KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) berkata penggantungan bahan-bahan kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) hanya dibenarkan pada 21 April 2013 iaitu selepas tarikh penamaan calon.

Menurut kenyataan DBKU, di bawah undang-undang kecil (Pengiklanan Pilihan Raya) 2011 DBKU, kerja-kerja penggantungan bahan kempen perlu mendapat permit daripada DBKU di samping membayar wang deposit sebanyak RM10,000.

Wang deposit tersebut adalah untuk memastikan semua parti yang bertanding mematuhi syarat-syarat yang berkaitan termasuk bahan kempen perlu diturunkan dalam tempoh 14 hari selepas hari mengundi.

Selain itu, penggantungan bahan kempen tidak dibenarkan sehingga menutup papan tanda keselamatan jalan raya serta tidak mengganggu penglihatan pengguna jalan raya.

Di samping itu, struktur bahan kempen hendaklah kukuh serta tidak menghalang lalu lintas.

Parti-parti yang bertanding juga dilarang menggantung bahan kempen di kawasan bangunan-bangunan kerajaan.

Justeru, DBKU meminta kerjasama semua parti agar mematuhi arahan-arahan tersebut.

Kegagalan mematuhinya boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 di samping wang deposit tidak dikembalikan.