Pengundi Bumiputera diminta semak status mengundi mereka

0

SIBU: Unit Bumiputera P.211 Lanang menyeru kepada para pengundi Bumiputera seperti Iban, Melayu, Orang Ulu dan Bidayuh yang sudah menjadi pengundi serta tinggal di kawasan bandar supaya menyemak status mengundi mereka dengan secepat mungkin.

Menurut Ahli Jawatankuasa Unit Bumiputera P.211 Lanang Enyang Enchol selaku jurucakap kepada unit tersebut, para pengundi yang digesa menyemak status mengundi adalah mereka yang tinggal dari Jalan Tiong Hua hingga ke Jalan Lada, Hulu Lanang.

“Ini bagi tujuan menyemak status mengundi mereka kerana banyak masyarakat Bumiputera khususnya Iban tinggal di rumah-ruma sewa atau rumah sendiri di sepanjang jalan terbabit.

“Keadaan mereka tidak sama seperti di rumah-rumah panjang atau kampung-kampung yang mempunyai individu dilantik untuk menguruskan hal-hal yang berkaitan terhadap pengurusan pengundi.

“Ia agak berbeza dengan mereka yang tinggal di bandar. Justeru, unit kami mengambil inisiatif untuk mengesan mereka bagi berkhidmat membantu mereka menguruskan hal-hal berkaitan dalam usaha kita mengurangkan masalah tidak turun mengundi pada hari membuang undi kelak,” katanya di sini semalam.

Enyang memberitahu bahawa para pengundi berkenaan bolehlah datang ke pejabat Pusat Perkhidmatan Ahli Parlimen Lanang yang terletak di belakang Hotel Kingwood di sini.

“Jika mereka tidak dapat datang ke pejabat kami, mereka boleh menghantar Pesanan Ringkas (SMS) dengan menaip nama mereka bersama nombor kad pengenalan ke 013-8269436. Perkhidmatan SMS ini adalah 24 jam,” jelasnya.

Pejabat Pusat Perkhidmatan Ahli Parlimen Lanang akan dibuka pada setiap hari Isnin hingga Sabtu dari jam 8 pagi hingga jam 5 petang.