Peranan sekolah mubaligh diiktiraf

0

BANTUAN KEWANGAN: Muhyiddin bersama Jabu pada majlis penyerahan bantuan kewangan kepada sekolah mubaligh di SK Garland, semalam. Turut kelihatan, Penolong Bishop Right Reverend Kuching Aries Sumping Jingan dan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Dato Sri Douglas Uggah Embas dan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin.

KUCHING: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata bantuan kewangan sekolah mubaligh akan dimasukkan ke dalam bajet tahunan persekutuan pada masa hadapan bagi memastikan ia terus berupaya menyumbang terhadap usaha menaik taraf sistem pendidikan negara.

Menurutnya, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan juga akan dirangkumkan dalam bantuan kewangan sedemikian sebagai bukti kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak meminggirkan sekolah jenis itu.

Usaha membantu sekolah-sekolah dalam golongan ini, katanya, bukan sahaja baharu dilakukan kini, tetapi bantuan kewangan sudah lama disalurkan atas dasar keprihatinan kerajaan BN.

“Jika sekolah mubaligh tidak mencapai tahap prestasi akademik yang tinggi ia akan turut menjejaskan paras pendidikan negara.

“Sebab itu kita perlu memastikan semua jenis sekolah berupaya melahirkan pelajar yang berkualiti,” katanya pada Majlis Perjumpaan Khas Bersama Warga Pendidik dan Penyampaian Tabung Khas Sekolah-sekolah Mubaligh di Sekolah Kebangsaan Garland di sini, semalam.

Hadir sama, isterinya Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Patinggi Alfred Jabu Numpang dan menteri-menteri persekutuan serta negeri.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata lagi, kerajaan menghargai peranan dan sumbangan sekolah mubaligh dalam melahirkan modal insan negara sejak lebih 100 tahun lepas.

Katanya, menghargai sumbangan besar itu, kerajaan membantu dari pelbagai aspek bukan sahaja kewangan, malahan tenaga pengajar di sekolah-sekolah dalam golongan itu turut dibiayai kerajaan.

“Kita mahu sekolah mubaligh kekal maju dan dibangunkan setaraf dengan sekolah kerajaan kerana ia dibuka untuk anak Malaysia tanpa mengira latar belakang kaum dan agama,” ujarnya.

Menurutnya, usaha BN dalam membangunkan pendidikan di negara ini diterjemahkan menerusi manifesto yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

BN, katanya, akan terus menyokong sekolah-sekolah bukan kerajaan jika diberi mandat untuk terus memerintah negara ini menerusi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.

Sejumlah 127 sekolah mubaligh di Sarawak setakat ini berdasarkan statistik 2013.

Muhyiddin berkata, sejumlah RM31 juta diperuntukkan kepada sekolah-sekolah mubaligh di Sarawak pada tahun ini.

Sementara itu, Jabu berkata sekolah mubaligh di Sarawak tidak dapat dinafikan jasanya terhadap pembangunan negeri ini.

“Pada masa kini sekolah-sekolah mubaligh telah bersama-sama mengikuti arus perdana sistem pendidikan kebangsaan kita.

“Segala dasar, program dan aktiviti yang direncanakan oleh pihak kerajaan melalui Kementerian Pelajaran diterima pakai dan dilaksanakan sepenuhnya di sekolah-sekolah mubaligh,” katanya.