SUPP Senadin sedia ‘berperang’

0

MIRI: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Senadin kini bersedia membantu calon Barisan Nasional (BN) dalam ‘peperangan’ untuk meraih undi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Pengerusi SUPP Senadin, Datuk Lee Kim Shin berkata semua jentera pilihan raya SUPP Senadin sudahpun bersiap siaga untuk dikerahkan dalam tempoh kempen meraih undi.

“Kita sudah bersedia dalam menghadapi apa juga kemungkinan pada PRU13 ini dan dengan kekuatan jentera pilihan raya yang ada, kita pasti mampu membantu calon BN menang dengan majoriti besar,” katanya ditemui di sini semalam.

Lee yang juga Menteri Muda Perhubungan menjelaskan, semua ahli SUPP cawangan dan ranting telah memahami peranan dan tanggungjawab masing-masing pada pilihan raya umum kelak.

“Kita percaya rakyat masih memerlukan kerajaan BN, namun ia tidak bermaksud kita harus leka sebaliknya terus memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap parti komponen BN,” jelasnya.

Sebelum ini, penyandang kerusi Parlimen Miri, Datuk Peter Chin Fah Kui telah menyatakan hasrat untuk tidak akan bertanding pada PRU13 sebaliknya memberi laluan kepada muka baharu.

Hasrat terbabit telah dipanjangkan Chin kepada Presiden BN yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan memastikan calon yang bakal menggantikannya merupakan calon boleh menang.

Terdahulu, Lee menyampaikan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada lima pertubuhan keagamaan di sini iaitu Persatuaan Agama Hindu, Persatuan Agama Buddha Miri, Surau Senadin Jaya, Masjid Senadin Kampung Pangkalan Lutong dan Persatuan Komuniti Kristian Miri.

Sehubungan itu, Lee menyarankan agar setiap pertubuhan atau persatuan yang menerima geran MRP memanfaatkan peruntukan tersebut dengan sebaik-baiknya.