Waspada jika ada pihak calit jari penduduk guna dakwat

0

SIBU: Tuai-tuai rumah harus berhati-hati jika ada pihak tertentu berkunjung ke rumah panjang serta bertindak mencalit jari penduduk atau pengundi menggunakan dakwat yang kononnya dakwat kekal menjelang pembuangan undi 5 Mei depan.

Setiausaha Politik Ketua Menteri, Andrew Shilling Bangit menasihati tuai-tuai rumah agar sentiasa berwaspada kerana mungkin ada pihak tidak dikenali akan mengunjungi rumah panjang mereka lebih-lebih lagi menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) ini.

“Jika ada pihak yang datang dan mahu mencalit jari telunjuk kiri penduduk atau pengundi kononnya dengan dakwat kekal, jangan benarkan sama sekali. Jari hanya boleh dicalit dengan dakwat kekal ini apabila kita hendak membuang undi (oleh petugas pilihan raya),” katanya pada majlis di Rumah Linus Melin, Bungan Kecil, Batang Igan kelmarin.

Dalam pada itu, Andrew turut mengingatkan penduduk dan juga pengundi agar tidak menyerahkan kad pengenalan mereka untuk disimpan oleh pihak lain.

Tindakan seperti itu, akan menyebabkan kad pengenalan mereka disalah guna oleh pihak terbabit untuk membuang undi, sekali gus menyebabkan pemilik kad pengenalan asal akan hilang hak untuk mengundi.

Beliau juga mengingatkan tuai-tuai rumah agar menyiasat dengan betul pihak yang mendakwa dari jabatan atau agensi kerajaan, yang berkunjung ke rumah-rumah panjang ketika pilihan raya ini.

“Jika ada pihak yang datang ke rumah panjang serta tidak dikenali, kita harus siasat betul-betul dari mana mereka datang. Jika mereka mendakwa dari jabatan atau agensi kerajaan minta surat pengesahan.

“Jika tidak ada surat, mereka ini hanya ingin menipu atau menghasut penduduk lebih-lebih lagi ketika musim pilihan raya ini,” jelas Andrew.