PRU13 ini dijangka libatkan paling ramai pengundi belia

0

KUCHING: Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) telah sedikit sebanyak membawa perubahan senario mengundi di Malaysia dengan PRU13 ini dijangka melibatkan paling ramai pengundi baharu daripada golongan belia.

Menurut Menteri Muda Belia (Bandar) Abdul Karim Rahman Hamzah, di Sarawak sahaja bilangannya adalah seramai 206,000 orang.

Jelasnya, 53,000 orang daripadanya merupakan pengundi muda yang berumur 25 tahun ke bawah dan selebihnya adalah yang berusia 25 tahun ke atas.

“Kehangatan PRU13 ini telah menarik minat begitu ramai masyarakat termasuk anak-anak muda untuk mengundi,” katanya.

Dalam pada itu, Karim berkata daripada keseluruhan 1,063,740 pengundi Sarawak, 510,860 orang merupakan pengundi belia.

“Seramai 258,334 orang merupakan pengundi belia lelaki dan 252,526 orang adalah pengundi belia wanita,” katanya.

Terdahulu, Karim berkata PRU kali ini akan menyaksikan pengundian melibatkan begitu ramai golongan belia dengan 2.3 juta daripada 13 juta orang yang layak mengundi adalah pengundi muda.

Beliau menyatakan demikian ketika merasmikan Majlis Persidangan Persatuan Belia Peringkat Negeri Sarawak 2013, di sini semalam.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan pemimpin-pemimpin belia agar memainkan peranan dalam mencorak anak-anak muda agar lebih peka bagi memilih kerajaan pada masa akan datang.

Bagaimanapun, jelas beliau dalam konteks demokrasi, kecenderungan belia dalam membuat pilihan telah diperdebatkan oleh umum secara terbuka.

Bagi menangani isu itu, Karim berkata program-program pembangunan belia mesti dilaksana dan dinilai impaknya kepada golongan belia agar keberkesanan program dapat dikenal pasti.

“Perubahan pendekatan ini harus dilaksanakan dalam masa terdekat kerana golongan belia bukan sahaja merupakan aset negara yang tidak ternilai tetapi tingkah laku serta corak pemikiran mereka akan menentukan hala tuju negara pada masa depan,” katanya.