Dua maut, pemandu cedera ringan dalam kemalangan

0

Keadaan Proton Iswara yang remuk di bahagian tepi sebelah kiri dalam kemalangan itu.

LAHAD DATU: Dua maut manakala pemandu cedera ringan selepas kenderaan jenis Proton Iswara yang dinaiki mereka terlibat dalam satu kemalangan jalan raya membabitkan sebuah kenderaan pacuan empat roda D-Max, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.10 tengahari di batu 3 Jalan Segama Lama itu, mangsa yang maut di tempat kejadian merupakan penumpang yang duduk di bahagian belakang dan dikenali sebagai Yaser Aruna, 21, sementara Marbin Basri, 19, yang duduk di bahagian hadapan dikatakan meninggal dunia ketika berada di Hospital Lahad Datu.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Supritendan Shamsudin Mat ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata siasatan awal pihaknya di tempat kejadian mendapati kemalangan berpunca daripada Proton Iswara yang dipandu Aisid Nuldin,19, ketika dalam perjalanan dari arah batu 6, Jalan Segama menuju ke Kampung Bakau.

Semasa melalui satu selekoh di tempat kejadian, kenderaan yang dipandu mangsa dipercayai telah hilang kawalan lalu memasuki ke lorong sebelah kanan dan melintang di tengah jalan sebelum merempuh sebuah D-Max yang datang dari arah bertentangan.

“Impak daripada kemalangan itu, Yaser yang duduk di bahagian belakang telah meninggal dunia serta merta di tempat kejadian, manakala Marbin (penumpang di bahagian hadapan) meninggal dunia ketika berada di Hospital Lahad Datu, kedua-dua mereka maut akibat mengalami cedera parah di di bahagian kepala,” katanya.

Kata Shamsudin, pemandu D-Max berumur 53 tahun bersama isterinya bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan masih diteruskan.