PBB Bukit Kota sedia hadapi pembangkang

0

LIMBANG: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Bukit Kota tidak gentar berdepan dengan pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti dalam usaha mempertahankan kerusi Parlimen Limbang terus menjadi milik mutlak Barisan Nasional (BN).

Pengerusinya Dr Abdul Rahman Ismail berkata pengalaman berdepan pada empat pilihan raya sebelum ini memberi kekuatan kepada BN untuk terus mempertahan kerusi Parlimen Limbang selain tidak terperdaya dengan budaya dan taktik berkempen pembangkang.

“Kami (PBB) tidak gentar berdepan dengan sesiapa sahaja (pembangkang) dalam mempertahan kerusi Parlimen Limbang sebagai milik mutlak BN.

“Kami juga tidak mempunyai masalah menghadapi pembangkang kerana suasana dan senario pada pilihan raya lalu tidak jauh berbeza pada PRU13 kali ini,” katanya di sini semalam.

Dr Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota turut menjangkakan pembangkang bakal membawa isu-isu ‘kitar semula’  di peringkat negeri dan nasional.

“Mereka akan mengetengahkan isu-isu remeh seperti pembangunan, pendidikan dan isu tanah  yang selama ini ternyata berjaya ditangani dengan baik dan bijak oleh kerajaan BN tanpa mengetepikan kepentingan rakyat,” katanya.

Beliau menambah, PBB sudah mengatur strategi berkempen lebih berkesan iaitu bertemu secara peribadi dengan masyarakat dalam erti kata lain mengamalkan konsep turun padang, mengadakan sesi ceramah dan bertemu mereka.

“Cara berkempen sedemikian (turun padang) lebih berkesan dan kaedah ini sudah menjadi amalan biasa bagi pemimpin BN, selain perang poster dan kaedah berkempen lain,” katanya.

Beliau menjelaskan, konsep turun padang dan bertemu rakyat di konstituensi Bukit Kota akan dilakukan dalam tempoh berkempen 14 hari selepas penamaan calon pada Sabtu ini (20 April).

Sepanjang tempoh berkempen itu, Dr Rahman memberitahu, BN akan menerangkan manifesto dan aku janji BN secara lebih jelas kepada rakyat.

“Kami juga mahu rakyat membuka mata dan melakukan perbandingan antara aku janji BN dan manifesto pembangkang yang lebih kepada angan-angan kosong berbanding BN yang bersifat realistik dan nyata,” ujarnya.