KUALA LUMPUR: Muka baharu MCA yang diletak bertanding di kawasan Parlimen Seputeh, Nicole Wong Siaw Ting akan tetap turun berkempen walaupun masih dalam keadaan ‘berpantang’ selepas melahirkan bayi lelaki kedua 18 Mac lepas.
Sambil menyatakan kegembiraannya menjadi ibu dan dipilih sebagai calon, Nicole, 33, berkata tempoh berpantang tidak akan menghalangnya untuk turun berkempen.
“Saya tidak menjadikan tempoh berpantang sebagai halangan untuk berkempen sebaliknya mahu lebih gigih berbuat demikian,” katanya kepada Bernama semalam.
Beliau yang merupakan anggota Jawatankuasa Wanita MCA Pusat dan Timbalan Ketua Beliawanis MCA adalah antara 12 muka baharu Barisan Nasional yang diumumkan bertanding di Wilayah Persekutuan.
Nicole berkata beliau langsung tidak menyangka dipilih sebagai calon.
“Ketika sedang mengandung, saya diminta turun padang atas kapasiti saya sebagai Pegawai Khas kepada Pengerusi Penyelaras BN Seputeh, Datuk Chai Kim Sen.
Antara lain saya bertemu penduduk dan cuba menyelesaikan masalah mereka,” katanya.
Kerusi Seputeh kini disandang Teresa Kok dari DAP. — Bernama