STAR S’wak tanding di 10 kerusi Parlimen

0

KUCHING: Parti Reformasi Negeri (STAR) Sarawak menetapkan akan bertanding di 10 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) ini.

Ia membabitkan Parlimen Serian, Mambong, Mas Gading, Saratok, Lawas, Hulu Rajang, Santubong, Bandar Kuching, Stampin dan Kota Samarahan.

Justeru, Presiden STAR Sarawak Dr Dripin Sakoi yakin calon-calon yang diketengahkan mampu menawan kerusi-kerusi yang telah ditetapkan itu.

“Kami yakin untuk menang…kalau tidak yakin, apa guna bertanding,” katanya ketika ditemui pada sidang media di pejabat STAR Batu Kawa, di sini semalam.

Bagaimanapun, Dripin tidak mengumumkan senarai penuh bagi calon bertanding.

Sebaliknya, beliau hanya menyebut nama calon bagi Parlimen Mambong, Santubong, Mas Gading dan Hulu Rajang.

Dripin berkata, beliau sendiri akan bertanding di Parlimen Mambong dan meletakkan Patrick Anek Uren di Parlimen Mas Gading.

Beliau turut menyebut bahawa Dr Elli Luhat akan dicalonkan di Parlimen Hulu Rajang.

Bekas AJK Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Petra Jaya yang baharu mengesahkan keluar parti bertindak menyertai STAR untuk bertanding di Parlimen Santubong.

STAR Sarawak dijangka mengumumkan senarai penuh calon pada 18 April ini.