Ahli biologi calon BN Kedah paling muda tidak gentar hadapi PRU

0

CALON BN TERMUDA: Nor Sabrina memerhati borang pendaftaran calon yang lengkap diisi sebelum menyerahkannya kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Alor Setar, semalam. — Gambar Bernama

ALOR SETAR: Calon Barisan Nasional (BN) paling muda di Kedah, Datin Nor Sabrina Mohd Noor menyifatkan pilihan raya umum (PRU) kali ini sangat mencabar, namun beliau tidak gentar dengan keadaan itu.

Ahli biologi berusia 34 tahun itu jelas begitu bersemangat untuk memastikan kemenangan BN di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Baharu.

Sebagai calon daripada kalangan orang muda, beliau melihatnya sebagai nilai tambah berikutan pengundi muda sekarang yang lebih selesa mendampingi pemimpin seusianya.

“Saya ingin memfokuskan kepada kawasan saya iaitu DUN Bandar Baharu di mana majoriti pengundi adalah Melayu dan 40 peratus pengundi adalah pengundi muda. Banyak kemudahan yang diinginkan golongan muda di sana tidak dapat ditunaikan semasa pemerintahan kerajaan PAS dan banyak janji-janji tidak ditepati. Jadi saya yakin pengundi muda akan berpihak kepada BN pada kali ini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bioteknologi Melaka (PBM) itu berkata sebagai pengasas pergerakan Puteri UMNO di DUN itu, beliau yakin sekiranya terpilih sebagai wakil rakyat kelak, beliau juga mampu membawa transformasi besar ke kawasan berkenaan.

Nor Sabrina yang merupakan Ketua Puteri UMNO Kulim/Bandar Baharu berkata daripada segi calon saingan yang bakal dihadapi, beliau sudah mempersiapkan diri untuk berhadapan dengan sesiapa sahaja yang akan diketengahkan pihak lawan.

“PAS pasti akan meletakkan calon, tapi saya tidak kisah kerana dalam parti mereka sendiri pun ada ketegangan, jadi eloklah rakyat bersatu beralih kepada BN.

“Lagipun selepas lima tahun mentadbir Kedah, banyak kepincangan berlaku, tidak ada kemajuan atau pembangunan dan inilah masanya khusus untuk pengundi muda bertindak untuk mengubah supaya BN boleh menang,” katanya yang berasal dari Sungai Kob, Kulim.

Mengenai harapannya jika terpilih sebagai wakil rakyat, Nor Sabrina berkata beliau akan berusaha supaya sebuah hospital dibina di kawasan berkenaan.

Katanya sebagai ibu muda dengan dua anak beliau sangat prihatin dengan nasib golongan ibu di kawasannya kerana terpaksa memilih hospital di luar negeri Kedah untuk melahirkan anak.

“Mereka terpaksa pergi ke hospital di Selama atau Parit Buntar di Perak dan apabila anak mereka dilahirkan, bayi itu telah hilang “taraf” sebagai rakyat Kedah sebab dilahirkan di negeri lain. — Bernama