Ahli SPDP keluar parti protes pencalonan Mawan

6

KELUAR SPDP: Ahli SPDP Saratok melaungkan sokongan kepada Jelaing Mersat dan menolak pencalonan Mawan untuk bertanding di kerusi Parlimen Saratok, semalam.

SARATOK: Seramai 320 ahli SPDP Parlimen Saratok keluar daripada SPDP dengan serta-merta petang semalam, sebagai tanda rasa tidak puas hati dengan keputusan pencalonan Presiden SPDP Tan Sri William Mawan Ikom sebagai calon Parlimen Saratok.

Pengumuman keluar parti itu turut disertai bekas Ahli Parlimen Saratok merangkap Naib Presiden Kanan SPDP Sarawak Jelaing Mersat sendiri.

Tindakan ahli-ahli parti tersebut dilakukan bagi menunjukkan rasa tidak puas hati dengan keputusan yang dibuat oleh parti yang dianggap oleh mereka sebagai membelakangkan pendapat akar umbi dan parti sendiri.

Jelaing berkata tindakan tersebut seolah-olah tidak menghormati keputusan masyarakat dan situasi peringkat akar umbi yang masih teguh dan kukuh pendirian untuk terus berjuang mempertahankan SPDP.

“Tindakan tersebut menyebabkan saya terasa amat teraniaya. Saya tidak akan kecewa sekiranya sejak dahulu saya diberitahu bahawa saya tidak dicalonkan dan memberi ruang kepada calon baharu sekali gus saya diamanahkan untuk membimbing calon tersebut, saya sedia dengan keputusan itu.

“Akan tetapi selama ini setiap kali saya bertanyakan kepada presiden parti adakah saya tercalon, beliau menjawab… bahawa saya adalah satu-satunya calon yang disenaraikan.

“Akan tetapi setelah pengumuman calon dibuat, saya begitu terkejut dan kecewa dengan keputusan yang menyenaraikan presiden parti adalah calon yang menggantikan saya,” jelasnya sewaktu berucap pada Mesyuarat Tergempar SPDP Parlimen Saratok di Dewan Rumah Dayak Saratok, semalam.

Tambahnya, masyarakat di peringkat akar umbi yang selama ini memberi sokongan padu begitu kecewa dengan keputusan tersebut.

Pada masa yang sama, rata-rata perwakilan dan ahli SPDP yang hadir pada mesyuarat tersebut menyuarakan perasaan tidak puas hati dengan keputusan yang telah diambil dengan pelantikan presiden SPDP menggantikan Jelaing.

“Sekiranya keputusan tersebut diteruskan, kami ingin menjelaskan pendirian kami bahawa kami tidak akan memberi sokongan.

“Ini pendapat kami dan pihak kepimpinan harus mendengarnya jika ingin memastikan Barisan Nasional (BN) yang bertanding di kawasan ini terus mempertahankan kerusi Parlimen ini,” katanya dan pendapat perwakilan tersebut.

Pada masa yang sama, perwakilan turut berjanji untuk membawa masalah berkenaan ke peringkat tertinggi parti komponen BN agar suara di peringkat akar umbi didengari dan dipandang serius demi masa depan parti dan rakyat di kawasan berkenaan amnya.

Ditanya sama ada beliau akan bertanding sebagai calon Bebas seandainya tidak dicalonkan, Jelaing menyatakan bahawa semua itu terpulang kepada sokongan daripada peringkat akar umbi.