Bekas penjawat awam sertai pembangkang kerana kepentingan sendiri: Hamzah

0

IPOH: Penyandang kerusi Parlimen Larut Datuk Hamzah Zainuddin dari Barisan Nasional (BN) berkata faktor kepentingan diri menjadikan segelintir pegawai kerajaan menyertai parti pembangkang selepas bersara daripada perkhidmatan awam.

Beliau berkata, bekas penjawat awam dan polis tidak perlu menunggu sehingga tamat perkhidmatan mereka sekiranya ikhlas mahu berjuang untuk kepentingan rakyat.

“Kalau dia masuk parti (pembangkang) ketika dia masih berkhidmat, itu kerana dia sudah tentu mempunyai agenda dan perjuangan yang dia mahu bawa, dia ada prinsip sendiri,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Bidang Ekonomi Utama  Negara (NKEA) dan Strategi Industri Getah di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kemungkinan berdepan dengan calon PAS dan bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Fauzi Saari, pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), 5 Mei ini.

Hamzah, yang juga Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, berkata beliau tidak mempunyai strategi khusus untuk mempertahankan kerusi tersebut dan bersedia berdepan dengan mana-mana calon lawan.

Pada PRU 2008, Hamzah mengalahkan calon PAS, Dr Mohd Dhari Othman dengan majoriti 1,911 undi. — Bernama