Bekas wakil rakyat PKR ikrar bantu BN rampas DUN Lunas

1

KULIM: Bekas anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lunas, Mohd Razhi Salleh berikrar untuk membantu calon Barisan Nasional (BN) merampas semula kerusi itu pada pilihan raya umum kali ini.

Mohd Razhi yang memenangi kerusi itu atas tiket PKR pada 2008 sebelum bertindak keluar parti dan menjadi wakil Bebas, membuat ikrar berkenaan di hadapan lebih 500 penyokong BN pada perjumpaan di Pusat Daerah Mengundi Paya Besar, Lunas dekat sini semalam.

Mengulas perkara itu kepada pemberita kemudian, Mohd Razhi berkata beliau menyesal kerana terlalu taksub dan taat kepada Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya membuat keputusan drastik meninggalkan PKR dan menarik diri daripada jawatan exco kerajaan negeri Kedah setelah ditipu melalui pelbagai peruntukan yang sepatutnya saya keluarkan bantuan kepada persatuan-persatuan dan badan amal telah tidak dilangsaikan kerajaan negeri menyebabkan saya berasa amat malu dan sekali gus telah menarik diri,” katanya.

Mohd Razhi juga berkata beliau dan wakil rakyat Bebas lain yang merupakan ‘rakan BN’ akan turut berkempen membantu semua calon BN di Kedah.

Pada pilihan raya kali ini BN mempertaruhkan semula S. Ananthan bertanding di kerusi itu. Pada pilihan raya lepas, Ananthan kalah kepada Mohd Razhi dengan majoriti 10,323 undi. — Bernama