Site Last Updated 8:24 am, Wednesday

Calon muda, muka baharu BN gegar gelanggang PRU13

Posted on April 18, 2013, Thursday

Melengkap pasukan transformasi dengan semangat tinggi

KUALA LUMPUR: Dengan tarikh penamaan calon ditetapkan Sabtu ini, gelanggang pilihan raya menjadi semakin semakin hangat apabila muka-muka baharu dan muda ditampilkan Barisan Nasional bagi Pilihan Raya Umum Ke-13 yang menyenaraikan pasukan transformasinya sejak tiga hari lalu.

Selain pertarungan bagi kerusi panas yang biasa berlaku dan siapa yang kekal ataupun digugurkan, tumpuan ini dikongsi bersama barisan muka baharu yang dipilih Datuk Seri Najib Tun Razak untuk bersama-sama beliau bagi mendapatkan mandat rakyat buat kali pertama sebagai perdana menteri.

Dalam memilih calon-calonnya, Najib memulakan perubahan politik buat BN bagi memberi nafas baharu kepada gabungan itu yang kembali memerintah pada Pilihan Raya Umum 2008 dengan jumlah kerusi berkurangan menyebabkan perdana menteri terdahulu Tun Abdullah Ahmad Badawi menyerahkan tampuk pemerintahan kepada beliau.

Perkara paling mengejutkan berlaku di Selangor kelmarin di mana 80 peratus calon BN yang diumumkan Najib adalah muka baharu dalam usaha menguasai semula negeri itu.

Bagi menguasai semula Pulau Pinang, hampir dua pertiga daripada calon-calon BN bagi 13 kerusi Parlimen dan 40 kerusi Dewan Undangan Negeri adalah muka baharu manakala di Kedah, separuh daripada calon-calon BN adalah muka baharu.

Cabaran paling besar yang harus diharungi muka-muka baharu ini bukan sahaja untuk memenangi hati pengundi-pengundi yang seusia mereka atau malah lebih muda lagi tetapi juga bagi menunjukkan kecekalan mereka dan memikat pengundi lebih tua yang secara umumnya lebih konservatif.

Hampir 42 peratus daripada 13.3 juta pengundi adalah mereka yang berumur di bawah 40 tahun dengan 2.5 juta berumur antara 21 hingga 29 tahun.

Penganalisis politik dari Universiti Malaya Prof Datuk Dr Zainal Abidin Borhan berkata sekiranya calon muka baharu yang muda itu boleh memainkan peranan menarik pengundi muda, itu satu kemungkinan besar.

“Tetapi pengundi-pengundi muda pun cerdik, mereka sudah ada akses kepada teknologi, dan mereka tahu barangkali gelagat calon-calon, sama ada pengundi-pengundi muda akan memilih calon muda, itu akan jadi persoalan, berdasarkan sikap calon itu sendiri, adakah mereka boleh menjadi suara orang muda.

“Saya kira apabila mereka berhadapan pengundi mereka, mereka perlu sampaikan dua perkara iaitu ‘idolism’, meliputi aspirasi dan apa yang difikirkan orang muda pasal masa depan mereka, yang kedua, macam mana dan apa tindakan yang perlu diambil mereka menuju ke arah itu,” katanya.

“Sudah tentu mereka (calon-calon muda ini) akan membawa harapan Perdana Menteri kepada golongan tersebut (pengundi muda). Melabur kepada orang muda ini penting untuk masa hadapan,” katanya.

Calon termuda BN ialah Daniel Wa Wai How, 25, dari MCA yang akan bertanding di kerusi DUN Keranji di Perak. Pembantu kepada penyandang kerusi Parlimen Kampar Datuk Lee Chee Leong ini menjadi tumpuan media sejak namanya diumumkan Isnin lepas.

Seorang lagi pencabar generasi Y adalah anggota parti GERAKAN iaitu Loo Jieh Sheng, 31, calon muda BN di Pulau Pinang yang akan bertanding di kerusi DUN Air Itam.

Loo, yang juga pembantu khas kepada Pengerusi BN Pulau Pinang Teng Chang Yeow, melihat pemilihannya sebagai satu usaha untuk membawa semangat baharu kepada pengundi Air Itam yang sebelum ini disandang DAP.

Katanya beliau mempunyai kelebihan kerana dapat bergaul dengan golongan muda di Air Itam selain beliau juga pernah belajar di Sekolah Chung Ling di kawasan itu. — Bernama

Print Friendly

We encourage commenting on our stories to give readers a chance to express their opinions; please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. While the comments here reflect the views of the readers, they are not necessarily that of Borneo Post Online. Borneo Post Online reserves the right not to publish or to remove comments that are offensive or volatile. Please read the Commenting Rules.

Comments are closed.