Dr Tiki mungkin tampil sebagai calon Bebas

0

KAMI MAHU DR TIKI: Lolin (depan, dua kiri) bersama para pemimpin peringkat akar umbi Parlimen Mas Gading yang terdiri daripada kaunselor, pemanca, ketua kampung serta ahli-ahli PRS Mas Gading.

Ini berikutan permintaan, tuntutan kuat rakyat khususnya Bidayuh agar beliau kekal bertanding di Mas Gading

BAU: Permintaan serta tuntutan kuat rakyat khususnya daripada komuniti Bidayuh agar Datuk Dr Tiki Lafe kekal bertanding di kerusi Mas Gading berkemungkinan menarik bekas wakil rakyat popular di Bau itu untuk berdiri sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) ini.

Ini dinyatakan bekas Pegawai Khas Dr Tiki Kaunselor Lolin Nyigo sambil menjelaskan bahawa pihaknya kini sedang memantau sokongan di peringkat akar umbi dan sekiranya memberangsangkan, konstituensi sensasi tersebut dijangka menyaksikan pertandingan tiga penjuru.

“Sokongan kami kepada BN sudah pudar kerana telah silap membuat keputusan dalam menentukan calon bertanding dan majoriti komuniti Bidayuh juga tidak akan mahu mengundi DAP.

“Sekiranya ramai yang mahukan Dr Tiki, mungkin beliau akan bertanding sebagai calon Bebas,” katanya pada sidang media di Pusat Khidmat Parlimen Mas Gading, di sini semalam.

Menurut Lolin, keputusan BN mencalonkan Anthony Nogeh Gumbek daripada SPDP amat mengecewakan segenap rakyat di Mas Gading khususnya di peringkat akar umbi.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan pencalonan Anthony telah memberi laluan mudah kepada DAP di mana BN diramal akan ditolak kerana mengecewakan mereka dengan tidak mencalonkan semula Dr Tiki sebaliknya meletakkan seseorang yang amat asing bagi mereka.

“Rakyat mahukan Dr Tiki kembali… keputusan tidak mengundi BN nanti bukan bermakna mereka menentang BN tetapi mereka mahu memberitahu BN agar mendengar luahan isi hati mereka.

“Ini adalah suara-suara kumpulan yang senyap dan hanya akan diterjemahkan melalui peti undi,” katanya.

Sementara, sidang media tersebut turut dihadiri oleh pemimpin – pemimpin peringkat akar umbi Parlimen Mas Gading yang terdiri daripada kaunselor, pemanca, ketua kampung serta ahliahli Parti Rakyat Sarawak (PRS) Mas Gading.

Menurut seorang ahli PRS Mas Gading Kaunselor Simit Jenis, mereka amat kecewa sebaik sahaja mengetahui Dr Tiki disingkirkan untuk bertanding pada PRU13 ini.

“Kami sangat kecewa dan tidak berpuas hati kerana kami mahukan Dr Tiki bertanding semula dan bukannya Anthony,” katanya.

Kaunselor Rosaidi Ugit turut menyuarakan bahawa begitu ramai penduduk di Mas Gading tidak mengenali langsung Anthony.

“Rakyat di akar umbi ratarata menyatakan bahawa mereka tidak mengenali Anthony terutama yang di daerah Lundu,” katanya.