Lagi wanita ditipu kenalan FB

3

SANDAKAN: Susulan seorang wanita membuat laporan polis pada Sabtu lepas kerana ditipu seorang lelaki yang dikenali di laman sosial Facebook, seorang lagi wanita iaitu surirumah berumur 37 tahun membuat laporan polis di Cawangan Jenayah Perdagangan di Balai Polis Sandakan pada Selasa (16 April).

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Rowell Marong yang mengesahkan kejadian itu ketika dihubungi kelmarin, memberitahu bahawa pengadu membuat laporan polis berkenaan setelah mengesyaki dia telah ditipu oleh seorang lelaki yang dikenali melalui Facebook sebanyak RM6,500.

“Pengadu telah berkenalan dengan lelaki terbabit yang kononnya berada di UK beberapa bulan lepas, dan lelaki itu berjanji hendak mengirimkan hadiah kepada pengadu.

“Baru-baru ini, lelaki berkenaan memberitahu bahawa dia telah mengirim hadiah itu kepada pengadu tetapi pengadu hendaklah membayar cukai kastam sebelum hadiah itu melepasi pemeriksaan pihak Kastam,” katanya.

Rowell berkata, pengadu juga diminta memasukkan wang ke dalam satu akaun bank, sebelum menerima hadiah berkenaan.

Walau bagaimanapun katanya, apabila menyedari sesuatu tidak kena selepas hadiah yang dijanjikan tidak diterima, pengadu kemudiannya membuat laporan polis kerana mengesyaki dia diperdayakan.