Lelaki mati dalam tahanan diklasifikasi mati mengejut

0

MIRI: Kes seorang lelaki yang mati ketika dalam tahanan polis kelmarin diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Ketua Polis Daerah Miri ACP Mun Kock Keong berkata siasatan awal polis akan dibuat di bawah SDR dan pihaknya kini masih menunggu laporan bedah siasat ke atas suspek untuk mengetahui punca sebenar kematiannya.

“Siasatan awal polis dilakukan di bawah SDR dan kami perlu menunggu sehingga laporan bedah siasat ke atas suspek siap untuk mengetahui punca sebenar kematiannya,” ujarnya.

Beliau memberitahu perkara itu pada sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah Miri di sini semalam.

Dalam pada itu menurut beliau, tangkapan ke atas suspek yang berusia 35 tahun dan berasal dari Kapit itu telah dibuat berikutan satu laporan polis yang diterima daripada seorang lelaki Melayu yang mendakwa dirinya telah dirompak.

Dalam aduannya, mangsa mendakwa sekitar jam 10 malam, 12 April lalu, ketika berada di belakang bangunan Yu Lan Plaza di sini, dia telah dirompak sekumpulan empat individu tidak dikenali terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita.

Ujar Mun, sebaik laporan diterima, pada awal pagi 13 April lalu, polis berjaya menangkap tiga lelaki dan seorang wanita termasuk suspek di kawasan belakang Restoran KFC di sini kerana disyaki terlibat dalam kes rompakan tersebut.

“Setelah ditangkap, mereka telah dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk disoal siasat dan sekitar jam 4 pagi hari sama tetapi mangsa tiba-tiba pengsan dan kemudian dikejarkan ke Hospital Miri untuk mendapatkan rawatan.

“Setibanya dihospital, suspek yang didapati mengalami jangkitan serius kemudian dimasukkan ke wad untuk menjalani rawatan lanjut namun disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital pada jam 2.30 pagi, 16 April lalu,” jelasnya.

Sehubungan itu kata Mun, pihaknya telah memanggil seorang majistret untuk memeriksa keadaan mayat mangsa yang ditempatkan di rumah mayat Hospital Miri.

Pada sidang media sama, beliau turut mengesahkan  bahawa video yang memaparkan insiden buli terhadap seorang pelajar lelaki yang dimuat turun dalam You Tube berlaku di sebuah sekolah menengah di Miri.

“Hasil siasatan awal, kami dapati insiden itu telah berlaku di sebuah sekolah di sini pada 20 Mac lalu dan difahamkan pihak pengurusan sekolah telah membawa mangsa serta pelajar yang terlibat dan ibu bapa masing-masing ke balai polis di sini, di mana mereka telah diberikan nasihat,” katanya.

Pun begitu kata Mun, terpulang kepada pihak pengurusan sekolah mengendalikan kes berkenaan dan polis tidak boleh bertindak lebih lanjut memandangkan setakat ini belum ada laporan polis dibuat oleh mangsa.

“Polis juga telah berjumpa dengan mangsa dan terpulang kepadanya sama ada mahu membuat laporan polis atau sebaliknya.

“Tambahan, kami juga dimaklumkan bahawa kes itu telah diselesaikan di luar oleh kedua-dua pihak terbabit,” katanya sambil memberitahu kesemua yang terlibat dalam insiden itu merupakan pelajar tingkatan lima.

Beliau juga memberitahu bahawa pihaknya turut dimaklumkan, beberapa pelajar yang terlibat dalam insiden itu telah diambil tindakan tegas oleh pihak sekolah.