Parlimen Petra Jaya akan saksikan pertembungan dua ketua pemuda

0

KUCHING: Pertembungan dua ketua pemuda negeri bakal berlaku bagi merebut Parlimen Petra Jaya selepas Datuk Fadillah Yusof diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi majoriti Melayu itu.

Fadillah yang juga ketua Pemuda BN Negeri dan ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan ditentang Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Ahmad Nazib Johari pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Menurut Fadillah, Malaysia merupakan negara demokrasi maka setiap parti bertanding pada PRU13 berhak menurunkan sesiapa sahaja calon.

Beliau yang juga penyandang Parlimen Petra Jaya yakin rakyat dapat menilai parti dan calon yang dapat memberi khidmat terbaik kepada mereka.

“Sudah pasti rakyat ingin calon yang dapat mengukuhkan jalinan baik antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat.

“Ini penting untuk memastikan kelangsungan dan kesinambungan menyeluruh di Petra Jaya,” katanya menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) semalam.

Fadillah menambah, kemampuan untuk menang besar pada PRU13 akan ditentukan pengundi kerana beliau telah memberikan perkhidmatan terbaik kepada penduduk Petra Jaya.

“Sekarang (PRU13) adalah masa mereka menilai perkhidmatan saya kepada mereka,” ujarnya.

Sementara itu, Nazib ketika dihubungi berkata, peluang untuknya merampas Parlimen Petra Jaya masih ada dan cerah.

“Saya memang yakin tinggi untuk kalahkan calon BN kerana beliau (Fadillah) bukan anak tempatan Petra Jaya,” jelasnya.

Beliau turut mendakwa selepas dua penggal menjadi Ahli Parlimen Petra Jaya, Fadillah gagal membawa banyak perubahan.

Pada PRU12 Fadillah mengalahkan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohamad Jolhi.