Site Last Updated 3:49 pm, Friday

Perwira kembali setelah berkhidmat di Lahad Datu

Posted on April 18, 2013, Thursday

SELAMAT PULANG: Anak-anak wira negara tidak sabar-sabar menunggu kepulangan ayah tercinta sehingga sanggup berjalan beriringan sewaktu perbarisan tiba di pangkalan TUDM di Kuching semalam.

KUCHING: Perwira-perwira daripada Batalion Ke-13 Rejimen Askar Melayu Diraja (13RAMD) akhirnya dapat melepaskan rindu bersama keluarga tersayang setelah tiba dengan pesawat C130 pada jam 11 pagi dari Semporna, Sabah semalam.

Rombongan anggota keselamatan yang diketuai Mejar Zawawi Mahmud bersama dua pegawai dan 52 anggota tentera pelbagai pangkat diarah pulang selepas selesai bertugas untuk Ops Daulat di Lahad Datu, Sabah selama dua bulan .

Kepulangan para anggota keselamatan itu disambut  girang oleh Panglima 3 Briged Brigedier Jeneral Datuk Pahlawan Redzuan Baharuddin bersama Ketua Staf Markas  1Divisyen Kolonel Mohd Mahmud Ahmad pada satu upacara penuh adat istiadat ketenteraan di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) semalam.

“Saya bagi pihak Angkatan Tentera dan 1Divisyen serta seluruh warga tentera gembira dengan kepulangan wira-wira kita tanpa ada sebarang kecelakaan yang berlaku kepada mereka.

“Kami memang sentiasa menghubungi mereka dan kadang-kadang pegawai pemerintah saya akan melaporkan kepada saya situasi di sana dan kita tidak mempunyai sebarang masalah berkomunikasi bersama para anggota yang bertugas di sana,” katanya ketika ditemui pada Majlis Menyambut Kepulanganmu Dinanti Wira Lahad Datu di sini semalam.

Tambah beliau, Markas 3Briged atau 1Divisyen sentiasa berada dalam keadaan bersedia untuk dikerah pada bila-bila masa diperlukan.

Bagaimanapun, ketibaan pertama anggota keselamatan dari Kota Kinabalu, Sabah pada jam 10 pagi yang diketuai Leftenan Kolonel Zamsari Abu Hassan dengan 13 pegawai dan 199 anggota ditangguhkan berikutan kerosakan teknikal.

Pada masa yang sama, Zawawi ketika ditemui berkata beliau ditugaskan oleh panglima 5Briged untuk mengawal dan menjaga ketenteraman di kawasan Semporna.

Pengalaman saya selama dua bulan di sana sejak tiba pada 14 Februari lepas adalah terlibat dengan Ops Simunul pada 2 Mac apabila berlaku kejadian tembakan bersama anggota PDRM dan kami ditugaskan untuk mengepung dengan kerahan sebanyak dua platun.

Sementara itu, Kapten 13RAMD Mohd Noor Amin Md Jani menceritakan insiden yang berlaku pada 2 Mac di Kampung Simunul apabila anggota PDRM dengan 52 anggota tentera mengepung kawasan itu pada jam 9 malam untuk tempoh 24 jam agar musuh tidak lolos.

“Kemudiaan, pada keesokan harinya kami mengadakan bantuan menyelamat bagi mereka yang terkorban.

“Anggota polis seramai 15 orang telah menyertai operasi itu tetapi enam daripadanya telah terkorban manakala 11 berjaya kami selamatkan.

“Kompeni Alfa 13RAMD telah digerakkan dan bergabung untuk Ops Simunul pada 2 Mac, pada Simunul 15 Mac kami berjaya tahan enam musuh dan satu ditembak mati. Simunul 16 Mac tidak ada apa-apa yang berlaku,” jelasnya.

Pihaknya juga mengikuti proses perpindahan 2,000 penduduk Kampung Simunul pulang ke kampung halaman masing-masing.

Beliau menyatakan rasa terharu dengan kehadiran Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Shafie Apdal yang turun padang untuk memberi bantuan makanan dan ambulans kepada para penduduk kampung.

Pegawai Waran II 13RAMD Tuan Azman Tuan Sulaiman, 36, telah berkhidmat selama 17 tahun sebagai anggota tentera tidak gentar ketika berhadapan dengan musuh Sulu demi menjaga keamanan negara.

“Sewaktu saya mengikuti operasi Simunul pada 2 Mac itu saya nampak 11 anggota polis terperangkap di Kampung Simunul. Masa itu memang keadaan kelam-kabut.

“Lebih kurang jam 7.30 selepas maghrib kompeni saya mengarahkan untuk menjaga kawasan itu sehingga pagi esok dan ditugaskan untuk ambil anggota polis yang terkorban. Kami masuk dalam air untuk ambil mereka. Rasa seronok dapat pulang,” katanya kepada pemberita.

Print Friendly

We encourage commenting on our stories to give readers a chance to express their opinions; please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. While the comments here reflect the views of the readers, they are not necessarily that of Borneo Post Online. Borneo Post Online reserves the right not to publish or to remove comments that are offensive or volatile. Please read the Commenting Rules.

Comments are closed.

91