Proses kira undi dilakukan di saluran pengundian Sabah

0

MD IDRUS

KOTA KINABALU: Proses pengiraan undi ketika Pilihan Raya Umum ke-13 akan dilakukan di seluruh saluran pengundian Sabah pada 5 Mei depan.

Pengarah Pilihan Raya Negeri Sabah, Datuk MD Idrus Ismail berkata pengiraan undi terbabit juga akan dilaksanakan sebaik sahaja saluran pengundian ditutup awal.

“Pada pilihan raya kali ini semua pengiraan undi akan dibuat di saluran tidak lagi seperti pilihan raya lepas iaitu undian dibawa ke Pusat Penjumlahan Undi Rasmi dan selepas jam 5 petang baru undian dikira.

“Kita juga akan memulakan proses pengiraan undi seawal jam 12 tengah hari sekiranya saluran pusat mengundi itu ditutup seawal jam 11 pagi.

“Begitu juga dengan pusat pengundian di kawasan lain yang akan ditutup pada jam 3 petang dan kita boleh mulakan proses pengiraan pada jam 3 petang,” katanya kepada pemberita ketika Mesyuarat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersama Media, di sini kelmarin.

Idrus turut menjangkakan semua keputusan PRU-13  Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen di negeri ini akan diketahui selewat-lewatnya jam 10 malam pada hari penjumlahan undi terbabit.

Menurutnya pada pilihan raya lepas, SPR turut menghadapi pelbagai masalah akibat keadaan cuaca yang tidak menentu.

“Keadaan hujan yang lebat di sesetengah tempat menyebabkan kawasan terbabit tidak dapat dihubungi ketika itu, contohnya di Pulau Banggi kerana air pasang dan menyebabkan helikopter tidak dapat memasuki di kawasan itu,” katanya.

Justeru katanya, pada pilihan raya kali ini pihaknya juga mengambil alternatif lain dengan menyediakan bot di kawasan-kawasan yang terlibat.