Satu lagi kes mati lemas dilaporkan di Tawau

0

TAWAU: Kes seorang lelaki warga emas ditemui mati lemas di Kg Inderasabah di sini kelmarin menjadikan dua kes serupa terjadi dalam tempoh seminggu apabila kes sama dilaporkan turut berlaku pada Isnin lepas.

Kes terbaru menyaksikan mangsa yang berumur 60-an ditemui oleh pasukan penyelamat dan penduduk kampung di kawasan Sungai Inderasabah tidak jauh dari lokasinya dilaporkan hilang di sekitar muara sungai terbabit.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Tawau, Rudy Fredzex berkata mangsa dikenali sebagai Rahim Patala dan berketurunan Bugis mula dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas pada jam 11.12 pagi kelmarin.

“Mangsa berjaya ditemui pada jam 1.12 petang, namun telah meninggal dunia,” katanya kepada pemberita sambil menambah, pasukannya tiba di lokasi kejadian pada jam 11.55 pagi sebelum memulakan operasi mencari dan menyelamat selang seminit kemudian.

Rudy berkata, pasukannya yang turut dilengkapi dengan sebuah bot penyelamat menjalankan usaha mencari dan menyelamat di sekitar lokasi kejadian dengan menggunakan kaedah pencarian di kawasan permukaan air serta dibantu oleh unit Scuba Bomba.

Mengulas lanjut, beliau berkata seramai enam orang anggotanya telah dikerahkan untuk menjalankan operasi terbabit sambil dibantu oleh penduduk kampung selain kelengkapan lain seperti sebuah jentera bomba, sebuah bot aluminium dan sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Isnin lepas, seorang pemandu lori yang mengangkut buah kelapa sawit turut dilaporkan mati lemas selepas kenderaan yang dinaiki oleh mangsa, Lee Vun Min, 31, dihanyutkan air deras yang datang secara tiba-tiba di Sungai Tiku, Batu 11 Jalan Sin Onn Tiku di sini.