Serahkan senapang buatan sendiri kepada polis

0

SERIUS: Mun (kiri) dan Stanley (kanan) menunjukkan dua daripada empat laras senapang angin buatan sendiri yang dirampas daripada seorang lelaki dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Tunku pada malam 11 April lalu. Turut kelihatan Julius.

Polis tidak berkompromi, pelaku kesalahan tersebut akan berdepan tindakan undang-undang

MIRI: Polis Miri memberi amaran keras kepada orang awam yang memiliki senjata api buatan sendiri agar menyerahkannya segera ke balai polis atau terpaksa berdepan tindakan undang-undang.

Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Polis (ACP) Mun Kock Keong berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak atau individu yang didapati melakukan kesalahan tersebut.

“Memiliki senjata api buatan sendiri merupakan satu kesalahan yang serius dan polis akan mengambil tindakan tegas termasuk mendakwa mereka di mahkamah mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971 (Penalti Lebih Berat) yang memperuntukkan hukuman penjara 14 tahun.

“Justeru kami memberi amaran keras kepada mereka agar menyerahkan senjata api buatan sendiri masing-masing ke balai polis dengan segera dan jangan tunggu sehingga ditangkap polis dan disabitkan dengan kesalahan tersebut,” tegasnya.

Mun memberitahu demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Miri di sini pagi semalam.

Hadir sama Timbalannya Superintenden Stanley Jonathan Ringgit, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Miri DSP Nixon Joshua Ali, Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Miri ASP Zamri Ally serta pegawai penyiasat Inspektor Julius Panai.

Pada sidang media itu, Mun turut menunjukkan beberapa laras senapang angin buatan sendiri yang dirampas daripada seorang buruh dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Tunku di sini pada jam 7.50 malam, 11 April lalu.

Katanya serbuan itu dibuat hasil maklumat daripada orang awam yang mengesyaki suspek ada terlibat dalam kes pecah rumah dan curi.

“Bertindak atas maklumat diterima, sepasukan polis telah pergi ke rumah suspek untuk membuat pemeriksaan kerana disyaki terlibat dalam kes pecah rumah dan curi.

“Hasil pemeriksaan dalam rumah, polis telah menjumpai empat laras senapang angin buatan sendiri, dua bahagian pangkal senapang yang belum siap dan satu bungkusan plastik mengandungi puluhan biji guli,” katanya.

Selain itu, polis turut merampas pelbagai perkakas yang digunakan untuk membuat senjata api termasuk satu alat penebuk lubang, gergaji besi, tukul, sebotol cecair methanol (spirit) dan gam.

Berikutan itu kata Mun, polis telah merampas kesemua barangan tersebut untuk dijadikan barang kes dan suspek yang berusia 41 tahun kemudian ditangkap dan dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk disoal siasat lanjut.

Meskipun enggan mengesahkan, namun polis tidak menolak kemungkinan senjata-senjata itu dibuat oleh suspek untuk tujuan dijual.

“Setakat ini, kami tidak tahu apakah tujuan sebenar dia membuat senjata ini.

“Namun jika dilihat dari segi jumlahnya yang agak banyak, kami faham akan tujuannya. Tidak mungkin ia untuk kegunaan peribadi sahaja,” jelasnya sambil menambah, pembuatan senapang angin itu oleh suspek tiada kaitan dengan kes pecah rumah.

Sementara dalam perkembangan lain, Mun mengesahkan sehingga pagi semalam pihaknya telah menerima dua permohonan bagi mendapatkan permit ceramah sempena Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) ini.

“Buat masa sekarang, kami telah menerima dua permohonan untuk permit ceramah dan kedua-duanya daripada SUPP.

“Saya percaya selepas ini, akan lebih banyak permohonan (permit) diterima,” katanya.