Tujuh laporan diterima bagi Kota Kinabalu dan Sepanggar

0

JAUTEH ketika mempengerusikan pertemuan bersama calon dan wakil calon yang bertanding bagi kawasan Parlimen Sepanggar dan Kota Kinabalu di sini kelmarin.

KOTA KINABALU: Tujuh laporan diterima polis di sini setakat ini bagi kawasan Parlimen Kota Kinabalu dan Sepanggar setelah tarikh pembubaran pada 3 April lepas.

Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Jauteh Dikun berkata antara laporan yang diterima adalah ceramah tanpa permit dan kegiatan merosak serta membakar bendera.

“Setakat tarikh pembubaran Dewan Rakyat sejak 3 April lalu, polis telah menerima tujuh laporan berhubung kesalahan termasuklah merosak dan membakar bendera selain berceramah tanpa permit.

“Semua kes itu disiasat mengikut Kanun Keseksaan dan setakat ini juga, belum ada laporan mengenai ugutan jenayah diterima,” katanya ketika ditemui setelah mengadakan pertemuan wakil calon bertanding bagi bertanding bagi kawasan Parlimen Kota Kinabalu dan Sepanggar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, kelmarin.

Mengulas lanjut, Jauteh mengingatkan kepada orang ramai untuk tidak terlalu taksub ketika kempen pilihan raya bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

“Seperti kita sedia maklum, kawasan Parlimen Sepanggar dan Kota Kinabalu adalah antara kawasan panas yang dikenalpasti pada pilihan raya kali ini.

“Oleh demikian, pihak IPD Kota Kinabalu telah membuat segala persiapan yang perlu bagi menghadapi segala kemungkinan, sekaligus memastikan perjalanan pilihan raya umum kali ini berjalan lancar,” katanya.