URB akan dikerah pada PRU-13 bagi tingkat keselamatan

0

AYUB (dua kanan) menaiki motosikal berkuasa tinggi ketika melakukan lawatan di pondok polis Kepayan Ridge bersama pasukan URB kelmarin. Turut kelihatan Timbalan Ketua Polis Kota Kinabalu, Supt M Chandra (dua kiri).

KOTA KINABALU: Pasukan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) akan digerakkan bagi meningkatkan tahap kawalan keselamatan pada hari mengundi di negeri ini, menurut Pengerusi Urusetia Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Bukit Aman, Datuk Ayub Yaakob.

Selain daripada kawalan keselamatan katanya, langkah itu juga dilihat sebagai memastikan kelancaran pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) nanti, terutama hari mengundi pada 5 Mei daripada sebarang insiden tidak diingini termasuk jenayah.

Beliau bagaimanapun berkata, URB tetap akan beroperasi seperti biasa pada setiap hari untuk mencegah jenayah selain menumpukan perhatian kepada kawasan-kawasan mengundi di negeri ini.

“Pasukan URB tetap beroperasi seperti biasa bagi mencegah jenayah namun pada hari pengundian nanti, ia mungkin menumpukan rondaan di pusat-pusat mengundi,” katanya.

Ayub berkata demikian ketika ditemui pemberita setelah mengadakan lawatan URB di pondok polis Kepayan Ridge, dekat sini kelmarin.

Sebelum lawatan terbabit, Ayub telah mengadakan pertemuan di antara Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berhubung perkara yang berkaitan dengan kepolisan khususnya dalam melaksanakan semua inisiatif di bawah NKRA.

Menurut beliau dalam pertemuan itu juga, pihaknya telah mengadakan perbincangan aspek penugasan, keanggotaan selain pelaksanaan NKRA pada PRU-13 nanti.

Sementara itu, Ayub mendedahkan bahawa pihaknya telah bercadang untuk menambah 1,000 lagi pasukan URB di seluruh negara.

“Kita jangka untuk memperluaskannya ke daerah lain. Setakat ini untuk Sabah, kita hanya mempunyai empat lokasi di mana pasukan URB ditempatkan iaitu Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau dan Semporna,” katanya.