Festival permotoran terbesar Borneo di Kuching pada 7-9 Jun

0

KUCHING: Festival terbesar Persatuan Pemotoran di Kepulauan Borneo iaitu Borneo Island International Big Bike Festival (BIIBBF) Sarawak 2013 akan diadakan di sini dari 7 hingga 9 Jun depan bertempat di Tebingan Kuching.

BIIBBF Sarawak 2013 dianjurkan oleh Borneo Island Big Bikers (BIBB) dan merupakan kali ke-14 diadakan. Ia dianjurkan secara bergilir-gilir di segenap Kepulauan Borneo melibatkan Brunei, Indonesia, Sarawak dan Sabah.

Menurut Presiden BIBB Datuk Dr Azman Samaon, BIIBBF Sarawak 2013 setakat ini telah mengesahkan lebih 400 penyertaan melibatkan para peserta dari Sarawak, Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan, Brunei, Indonesia, Filipina dan Semenanjung Malaysia.

“Melalui BIIBBF ini, para peserta akan didedahkan dengan aktiviti permotoran selain berpeluang menikmati pengalaman berada di Sarawak.

“Program ini juga bertepatan dengan Tahun Melawat Sarawak pada tahun ini dan ia secara tidak langsung menjadi platform bagi mempromosikan bandar raya Kuching sebagai tempat yang menarik untuk dikunjungi,” katanya pada sidang media di sini, kelmarin.

Azman menambah, antara aktiviti yang akan diadakan ialah pameran motosikal berkuasa tinggi, jualan gerai, sukan rekreasi, persembahan kebudayaan, tunggangan petang ke Pasir Panjang dan majlis makan malam sempena penutupan BIIBBF Sarawak 2013.

Selain itu, aktiviti amal turut diadakan iaitu penyerahan sumbangan kepada golongan kurang upaya (OKU)

“Secara keseluruhan, BIIBBF ke-14 ini dijangka dapat menjana pendapatan kepada masyarakat termasuk penjaja makanan, cenderamata, pengiklanan, agensi pengangkutan dan penerbangan, outlet hiburan, badan-badan amal, pengurus acara dan banyak lagi,” katanya.

Justeru, kepada penggemar motosikal berkuasa tinggi khususnya di negeri ini yang berminat menyertai BIIBBF Sarawak 2013 boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan melayari www.biibbf2013.com.

BIIBBF Sarawak 2013 diadakan dengan kerjasama Kerajaan Negeri, DBKU, polis, Pelancongan Malaysia dan Pelancongan Sarawak.

Penaja acara ialah Ghee Hua Motor World Sdn Bhd dan EON Auto Mart Mitsubishi Motors dan disokong oleh Hotel Hilton.