Keluarga hilang kereta dan cedera dalam rompakan bersenjata

0

KUCHING: Sebuah keluarga bukan sahaja kehilangan sebuah kereta, malah seorang daripada mereka turut dicederakan dalam satu insiden rompakan bersenjata di sini, malam kelmarin.

Menurut sumber, insiden tersebut berlaku di Metro Park, Batu Kawa, di sini ketika mangsa, 69, bersama isterinya sedang berehat di rumah sebelum didatangi dua lelaki bertopeng serta bersenjatakan pisau sekitar jam 10 malam.

Kedua-dua suspek tersebut telah mengarahkan mangsa dan isterinya untuk mendiamkan diri dan meminta mangsa menyerahkan semua wang dan barang barharga kepada mereka.

Isteri mangsa bagaimanapun enggan menuruti arahan tersebut, sebaliknya memberitahu mereka tidak mempunyai wang menyebabkan seorang daripada suspek bertindak memukulnya sehingga menyebabkan kecederaan.

Melihat keadaan tersebut, mangsa dan isterinya hanya mendiamkan diri sementara kedua-dua suspek bertindak menyelongkar rumah mereka.

Selepas beberapa minit kemudian, kedua-dua suspek kemudian beredar dari rumah mangsa membawa beberapa buah beg yang mengandungi wang tunai, serta barangan kemas milik keluarga mangsa.

Tambah menyedihkan lagi, apabila suspek turut melarikan sebuah kereta Perodua Myvi berwarna kelabu milik anak mangsa.

Risau akan terjadi perkara yang tidak diingini, mangsa kemudian terus membuat laporan polis berhubung kejadian di balai polis berhampiran.

Siasatan polis masih dijalankan.

Sementara itu, dalam satu kejadian berasingan, sebuah kereta jenis Toyota Hilux milik seorang kakitangan Jabatan Penerangan dilarikan pencuri pagi kelmarin.

Mangsa, 39, menurut sumber, hanya menyedari perkara tersebut selepas dihubungi oleh seorang daripada anak saudaranya memberitahu bahawa ada melihat kereta mangsa di kawasan Kampung Stass, Bau dekat sini sekitar jam 9 malam.

Dia yang terkejut selepas menerima panggilan tersebut kemudian memeriksa keretanya itu yang diparkirkan di hadapan rumah dan mendapati keretanya tiada lagi di situ.

Selain itu, mangsa juga mendapati beberapa barangan di dalam rumahnya juga telah hilang dipercayai dilarikan pencuri bersama dengan keretanya.

Mangsa kemudian segera membuat laporan polis berhubung kejadian dan siasatan masih dijalankan.