Lelaki didenda kerana lakukan ugutan jenayah

0

MIRI: Seorang lelaki didenda RM3,000 atau 18 bulan penjara oleh Mahkamah Majistret kelmarin setelah mengaku bersalah atas dua tuduhan melakukan ugutan jenayah dan satu tuduhan menakutkan secara jenayah terhadap seorang wanita.

Nasir Ramli dari Jalan Desa Bahagia Off Jalan Vista Perdana di sini telah didakwa atas dua tuduhan melakukan ugutan jenayah mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan satu tuduhan mengikut Seksyen 427 kanun sama iaitu menakutkan secara jenayah.

Berdasarkan tuduhan pertama dan kedua, tertuduh didapati telah melakukan ugutan jenayah dan menakutkan secara jenayah terhadap Dayang Zunida Abdullah dengan cara memecahkan tingkap rumah wanita terbabit.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh pada jam 2.20 petang, 5 Mac lalu di Lot 3265, Lorong Seroja 7, Fasa 5 Tudan di sini.

Manakala dalam satu lagi tuduhan, tertuduh sekali lagi telah melakukan ugutan jenayah terhadap wanita yang sama.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 6.30 petang dan 10.30 malam, 13 Januari tahun ini di Lot 1056 Vista Perdana Permyjaya di sini.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor.