Masyarakat Cina di Bandar Kuching, Stampin diseru sokong calon BN

0

KUCHING: Masyarakat Cina khasnya di Parlimen Bandar Kuching dan Stampin dirayu agar memberi sokongan padu kepada dua calon Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) di kawasan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) ini.

Setiausaha Agung SUPP Prof Dr Sim Kui Hian berkata, jika masyarakat Cina tidak menyokong Barisan Nasional (BN), ia dikhuatiri menjejaskan keseimbangan penyampaian pembangunan kepada rakyat di negeri ini.

Tegasnya, sokongan dan kepercayaan masyarakat Cina untuk bersama-sama BN amat diperlukan bagi memastikan kesinambungan pembangunan yang dirancang sampai kepada setiap lapisan masyarakat.

“Jika kita tidak memberi sokongan padu dan kepercayaan kepada BN, saya khuatir pembangunan dan segala bentuk bantuan daripada kerajaan akan menjadi sukar atau tersekat-sekat.

“Maka itu, berilah sokongan dan kepercayaan penuh kepada BN pada pilihan raya ini bagi memastikan kesinambungan dan pembangunan serta kebajikan masyarakat Cina khasnya dapat dijaga seperti masyarakat lain di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Mobilisasi SUPP di Ibu Pejabat SUPP di sini, malam kelmarin.

Pada masa sama, Dr Sim turut menyarankan masyarakat di bandar khasnya di Bandar Kuching dan Stampin menyokong BN agar setiap perancangan yang telah dirancang dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Sementara itu, calon BN Parlimen Bandar Kuching Tan Kai berharap rakyat dan ahli jentera SUPP di kawasan itu bersatu bagi memastikan Parlimen itu kembali ke tangan BN.

Malah, katanya, memilih calon yang betul penting bagi menentukan masa hadapan negara dan pembangunan di sesuatu kawasan.

“Saya berharap pengundi turun mengundi dan pilih dengan bijak kerana masa depan negara bergantung kepada anda,” tambahnya.

Pada masa sama, Tan Kai memberitahu banyak bantuan dan pembangunan yang telah disalurkan oleh BN tanpa memilih bangsa atau agama, justeru rakyat harus pandai menilai pencapaian kerajaan.

Manakala, calon BN Parlimen Stampin Datuk Yong Khoon Seng turut berharap masyarakat khasnya para pengundi bijak memilih pada pilihan raya ini.

“Saya akan memberi khidmat sepenuhnya atas kepercayaan dan amanat yang telah diberikan untuk saya bertanding semula di kerusi ini.

“Justeru, saya amat berharap semua jentera parti dan rakyat di kawasan ini dapat memberi sokongan padu yang tidak berbelah bahagi kepada BN pada pilihan raya ini,” ujarnya.

Hadir sama Presiden SUPP Datuk Seri Peter Chin Fah Kui, bekas presiden SUPP Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan dan ahli-ahli parti.