Pelajar dan warga UiTM diingatkan buat pilihan tepat

0

KOTA SAMARAHAN: Pelajar dan warga Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak yang layak mengundi diingatkan supaya membuat pemilihan tepat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) ini.

Rektor UiTM Kampus Samarahan, Prof Datuk Dr Jamil Hamali berkata lebih 50,000 pelajar UiTM di seluruh negara layak mengundi satu jumlah yang agak besar dalam menentukan masa depan negara.

Jika pelajar-pelajar ini dapat mempengaruhi ahli-ahli keluarga yang lain pada PRU13 ini, mereka mungkin dapat membantu dalam menentukan jumlah undi yang akan menentukan masa depan negara serta kerajaan yang akan memerintah.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Mahasiswa 1Malaysia UiTM anjuran Biro Tatanegara Negeri (BTN) Sarawak, Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama Bahagian HEP UiTM Sarawak di Dewan Jubli UiTM Samarahan, di sini semalam.

“Inilah tujuan kita menganjurkan program ini, untuk memberikan maklumat tepat kepada mahasiswa mahasiswi serta warga UiTM agar membuat pemilihan yang betul pada pilihan raya umum nanti.

“Kita di UiTM ini merupakan kumpulan yang kritikal di mana hampir 50,000 daripada pelajar kita layak untuk mengundi dan jumlah ini amat besar dalam menentukan masa depan negara kita,” katanya.

Bagi meningkatkan kefahaman para pelajar mengenai semangat patriotisme turut diadakan sesi Wacana Ilmu oleh dua orang penceramah, bekas panglima Tentera Darat Left Gen (B) Datuk Seri Zaini Mohd Said dan Penasihat Undang-undang Universiti Malaysia Kelantan, Datuk Abdul Halim Sidek.

Dalam wacananya, Zaini menekankan pentingnya golongan mahasiswa hari ini sebagai penentu masa depan negara yang akan mewarisi kepimpinan sedia ada.

“Patriotisme adalah tanggungjawab semua pihak dan bukan terletak di bahu anggota keselamatan negara semata-mata.

“Semangat patriotisme boleh ditunjukkan dalam pelbagai bentuk perbuatan ideanya mempunyai rasa sayang kepada negara dan sanggup bekorban,” katanya.

Zaini turut membincangkan mengenai insiden Lahad Datu yang mana bukan satu sandiwara atau konspirasi pihak tertentu, tetapi telah dirancang oleh seorang ketua yang berniat untuk menjatuhkan kerajaan.

Beliau turut menjelaskan kepada mahasiswa bahawa sebab-sebab di sebalik tindakan yang diambil oleh pihak keselamatan negara sepanjang insiden tersebut demi mengurangkan jumlah anggota yang terkorban.

“Kita boleh membuat serangan balas serta-merta, tetapi jumlah anggota yang mungkin terkorban adalah lebih tinggi.

“Sebab itu, pihak keselamatan negara melakukan banyak rundingan kerana mereka tidak mahu dan tidak sanggup melihat lebih ramai anggota kita gugur,” katanya.