Polis cukup tenaga untuk kawal di kawasan Baram

0

MARUDI: Pihak berkuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM) kawasan Baram mempunyai cukup tenaga kalangan pegawai untuk bertugas ketika menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) kali ini.

Ketua Polis Daerah Marudi, Timbalan Superintenden (DSP) Tamin Emperang memberitahu seramai 200 pegawai pelbagai pangkat akan ditempatkan di 119 buah tempat membuang undi di kawasan berkenaan.

“Kita turut mendapat bantuan tenaga pegawai untuk bertugas pada PRU13 dari Miri dan Semenanjung Malaysia,” katanya ketika ditemui di Pejabat Polis Daerah Marudi, di sini semalam.

Menurutnya, ini bagi meng-elakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku ketika proses penamaan calon, tempoh berkempen dan hari mengundi.

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan semua pihak termasuk penyokong parti-parti dan calon supaya memberikan kerjasama kepada para pegawai polis bertugas.

“Sesiapa yang menimbulkan kekecohan atau huru-hara akan dikenakan tindakan di bawah undang-undang,” tegasnya.

Sementara itu, Pegawai Daerah Baram Joseph Belayong memberitahu bahawa tiada perubahan bilangan pengundi berdaftar pada PRU13 kali ini dengan terdapat seramai 29,385 orang.

“Bilangan pengundi berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih sama seperti pada PRU12,” kata Belayong ketika ditemui di Pejabat Daerah Baram, semalam.

Untuk pecahan pengundi berdaftar di Baram mengikut kawasan, Telang Usan mencatatkan 15,755 manakala Marudi 13,630.

Bagi persediaan hari meng-undi pula, Baram mempunyai 39 pasukan bertugas dan bergerak ke semua 119 tempat pembuangan undi.