Semua ahli SUPP perlu bersatu hati

0

Chin mahu jentera parti bekerjasama pastikan tujuh calon menang

KUCHING: Semua ahli Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) digesa bersatu hati untuk memastikan ketujuh-tujuh calon yang telah dipilih menang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) ini.

Perkara itu ditegaskan Presidennya Datuk Seri Peter Chin Fah Kui yang memberitahu jika jentera parti tidak bekerjasama, matlamat untuk mencapai kemenangan pasti akan menjadi sukar.

Malah, katanya, SUPP bakal menghadapi cabaran getir di dua kerusi Parlimen iaitu Bandar Kuching dan Stampin yang memerlukan kesepaduan setiap ahlinya pada PRU ini.

“Kuching dan Stampin akan tinggal tanpa apa-apa (jika ahli parti tidak bersatu), sebab itu kita perlu tahu betapa pentingnya perpaduan dalam parti.

“Saya berharap anda bergerak bersama parti dan buat yang terbaik demi parti terutamanya bagi memastikan dua rakan kita yang dicalonkan di Parlimen Bandar Kuching dan Stampin menang pada pilihan raya ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Mobilisasi SUPP di Ibu Pejabat SUPP di sini, malam kelmarin.

Chin menegaskan, kemenangan amat diperlukan bagi memastikan masyarakat di dua kawasan itu mempunyai wakil rakyat dari Barisan Nasional (BN) untuk menyuarakan keperluan mereka di Dewan Rakyat kelak.

Menyentuh mengenai kerusi SUPP yang lain, beliau yakin sokongan rakyat di lima kawasan Parlimen itu masih kekal bersama BN.

Sementara itu, bekas presiden SUPP Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan berkata, perpaduan dan kerjasama dalam parti amat penting bagi memastikan jentera parti dapat bergerak bersama-sama menghadapi pilihan raya dengan lancar.

“Saya berharap semua ahli parti memberi sokongan padu kepada calon-calon yang telah dipilih tanpa berbelah bahagi untuk memastikan kemenangan BN pada pilihan raya ini,” ujarnya.

Pada majlis yang dihadiri kira-kira 500 orang itu, beliau turut menyumbangkan RM200,000 kepada parti untuk digunakan pada PRU ini.

Hadir sama Setiausaha Agung SUPP Prof Dr Sim Kui Hian, calon BN Stampin Datuk Yong Khoon Seng, calon BN Bandar Kuching Tan Kai dan ahli-ahli parti.