Anwar tidak hargai sokongan pengundi di Permatang Pauh

0

BERKEMPEN: Anwar berucap di hadapan para penyokongnya ketika memulakan kempen di Bagan Serai, semalam. — Gambar Bernama

BUKIT MERTAJAM: Tindakan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi tumpuan kepada kawasan luar berbanding Permatang Pauh sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) membuktikan Ketua Pembangkang itu tidak menghargai sokongan yang diberikan penduduk kawasan Parlimen itu selama ini.

Calon Barisan Nasional (BN) kawasan Parlimen Permatang Pauh Dr Mazlan Ismail berkata tindakan Anwar meninggalkan Permatang Pauh untuk memberi tumpuan kepada kempen pakatan pembangkang di seluruh negara, khususnya Sabah dan Sarawak,  tidak adil kepada pengundi yang telah memilihnya untuk mewakili kawasan berkenaan.

“Sejak semalam (kelmarin) Anwar Ibrahim tidak ada di sini. Kalau kita lihat sudah sepuluh tahun (sejak Presiden PKR) Datin Seri Wan Azizah, tidak bagi perhatian kepada penduduk di Permatang Pauh. Lima tahun Anwar memerintah pun sama. Dia tidak boleh buat begitu kerana 71,000 pengundi di sini yang mengundi dia.

“Sikap seperti ini tidak adil kepada pengundi. Dalam tempoh 15 hari kempen ni pun dia tidak boleh memberikan komitmen, malah lebih memberikan perhatian di kawasan lain. Inilah bukti yang menunjukkan Anwar tidak mengambil berat langsung penduduk Permatang Pauh yang telah banyak memberi sokongan kepadanya,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Tanah Liat, Penanti di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai pendirian Anwar yang menyerahkan kepada rakan sekerjanya di sini dan calon lain pakatan untuk berkempen di kawasan berkenaan kerana beliau perlu memberi tumpuan kepada kawasan lain termasuk Sabah dan Sarawak.

Mazlan berkata, sikap Anwar itu akan dimanfaatnya serta calon BN di parlimen berkenaan untuk lebih mendekati penduduk di situ memandangkan kesemua mereka merupakan anak tempatan.

“Kita akan berusaha untuk terus berkhidmat kepada penduduk di sini. Hanya orang kampung yang lebih memahami kehendak dan permintaan penduduk di sini.

Menerusi tagline kami “BN Harapan Baru Permatang Pauh” dan “Undilah Orang Kampung Kita”, saya yakin BN akan menang pada pilihan raya ini,” katanya.

Mazlan yang juga bekas timbalan pesuruhjaya PAS negeri berkata, jentera BN bahagian Permatang Pauh sudah bersiap sedia untuk menggempur kubu kuat Anwar itu menerusi pelbagai program.

Bekas Naib Presiden Telekom Malaysia itu akan mencabar Anwar dan seorang calon Bebas Dr Abdullah Zawawi Samsudin di Parlimen Permatang Pauh.

Beliau yang memulakan kempen hari pertama dengan melawat PDM di DUN Penanti berkata tujuan lawatan ke setiap PDM itu untuk memperkasa kawasan PDM selain memberi sokongan kepada jentera BN untuk menghadapi PRU13.

Mazlan sebelum itu melawat tujuh daripada 10 PDM di DUN Penanti sebelum meneruskan lawatan ke kedai pusat Orang Kurang Upaya (OKU) di Kampung Pertama, dekat sini. — Bernama