Konsep kesamarataan DAP akan sebabkan yang tercicir makin ketinggalan: Khaled

0

PASIR GUDANG: Konsep kesamarataan yang diperjuangkan DAP hanya akan menyebabkan golongan yang masih tercicir akan terus ketinggalan, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Ini kerana katanya, golongan terbabit terpaksa bersaing dengan mereka yang sudahpun mencapai kemajuan, dan kelompok itu pula akan terus mara ke tahap lebih tinggi.

“Kesamarataan ini hanya boleh dipakai sekiranya rakyat mempunyai tahap pencapaian, kemajuan, masalah, isu atau latar belakang yang sama,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pelan Strategik Keusahawanan Institusi Pengajian Tinggi dan ‘Women In Social Enterprise’ (WISE) 2013, di sini semalam.

Katanya, dalam konteks masyarakat majmuk di negara ini, kaum bumiputera yang masih ramai ketinggalan dalam pelbagai bidang, akan terus ketinggalan jika terpaksa bersaing secara terbuka berdasarkan konsep kesamarataan DAP itu.

Khaled yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri Permas pada Pilihan Raya Umum ke-13 ini, berkata berbeza dengan pembangkang, BN mengamalkan konsep kemajuan berdasarkan kesaksamaan yang pada masa sama mengekalkan permuafakatan bagi mencapai taraf negara maju.

“Permuafakatan itu membolehkan kita berdepan dengan pelbagai cabaran atau masalah seperti yang berlaku di negara-negara lain,” katanya.

Penghapusan perbezaan yang dinyatakan dalam manifesto pembangkang katanya bermakna tiada polisi atau perhatian dibuat bagi membantu memperkasakan kaum bumiputera yang masih ketinggalan dalam pelbagai bidang. — Bernama