Bom asap semasa penamaan di Bentong bukan milik polis

0

KUANTAN: Polis Pahang semalam menafikan laporan akhbar yang mendakwa mereka melepaskan bom asap ke arah penyokong pembangkang semasa proses penamaan calon di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Bentong, Sabtu lepas.

Ketua Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang ACP Anuar Osman berkata polis amat kesal dengan laporan yang tidak bertanggungjawab itu.

“Pasukan keselamatan tidak akan melepaskan kepulan asap merah tersebut memandangkan tidak ada sebab untuk menggunakannya lebih-lebih lagi majlis penamaan calon itu berjalan dengan lancar,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Beliau berkata, pihak polis juga tidak menerima sebarang laporan polis berhubung dakwaan kononnya pasukan polis melepaskan bom asap daripada mana-mana pihak.

Mengulas lanjut, beliau berkata siasatan awal mendapati bahan kes yang ditemui dalam kejadian berkenaan bukan milik polis.

“Terdapat beberapa perbezaan yang ketara, melalui barang kes ditemui ia berukuran setinggi kira-kira 13.4 sentimeter, berdiameter enam sentimeter dan lubang asap yang dikeluarkan adalah daripada sebelah atas.

“Sekiranya ia milik polis, tin bom asap tersebut berketinggian 13 sentimeter, berdiameter 5.4 sentimeter dan lubang asap yang dikeluarkan adalah daripada bawah,” katanya.

Beliau berkata, siasatan juga mendapati catatan nama syarikat pengeluar pada tin yang berwarna hijau itu telah dikikis. — Bernama