Rancangan bawa UMNO usaha sia-sia

0

PENYAYANG: Wan Junaidi berkesempatan bergambar dengan kanak-kanak semasa Program Pemimpin Bersama Masyarakat di Bandar Baru Samariang.

KUCHING: Rancangan pihak tertentu yang berhasrat membawa UMNO memasuki Sarawak adalah tindakan sia-sia kerana perbincangan perlu dijalankan bersama parti komponen negeri terlebih dahulu.

Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Santubong Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, tanpa persetujuan parti komponen BN Negeri, hasrat membawa UMNO memasuki Sarawak tidak akan berhasil.

“Mana-mana pihak yang menuntut sebagai wakil UMNO harus sedar bahawa kalau hendak masuk Sarawak mereka harus berbincang dengan parti komponen negeri ini.

“Sesiapa sahaja yang menuntut dan mempromosi UMNO di Sarawak tidak akan mendatangkan faedah selain merupakan tindakan sia-sia,” katanya kepada pemberita semasa Program Pemimpin Bersama Masyarakat di Bandar Baharu Samariang malam kelmarin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan calon Bebas Parlimen Santubong Affendi Jeman bahawa tujuannua bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) adalah untuk membawa UMNO memasuki Sarawak.

Wan Junaidi yang juga penyandang Parlimen Santubong untuk tempoh dua penggal menjelaskan, kenyataan yang dibuat Perdana Menteri dari era Tun Mahathir Mohammad tidak pernah sekalipun mengiktiraf usaha membawa UMNO ke negeri ini.

“Oleh itu orang Melayu dan Bumiputera di negeri ini tidak perlu mempercayai dakwaan ini.

“Kita tidak boleh terima hakikat bahawa ada orang menaja UMNO dan mustahil hanya seorang sahaja yang berhasrat membawa UMNO,” ujarnya.

Malah menurutnya, Sarawak mempunyai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berperanan sama seperti UMNO yang memperjuangkan hak dan keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera.

“PBB merupakan tulang belakang BN di Sarawak. Kita lihat setiap kali pilihan raya, PBB mendapatkan kecemerlangan.

“Ini sebabnya kenapa UMNO tidak masuk ke Sarawak,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau tetap yakin Parlimen Santubong merupakan kubu kuat BN.

“Pengundi di Parlimen Santubong bijak menilai. Mereka juga sedar perjuangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) hanya untuk membolehkan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri,” kata Wan Junaidi.